GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Mohd Roji Kawi

Kuching: Dewan Undangan Negeri (Dun) Sarawak hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Tafsiran (Pindaan) 2022 yang mengiktiraf anak hasil perkahwinan campur di negeri ini sebagai Bumiputera.

RUU itu diluluskan oleh Timbalan Speaker Dun Datuk Idris Buang apabila ia disokong sebulat suara selepas bacaan kali ketiga oleh Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri (Undang-Undang, MA63 dan Perhubungan Negeri-Persekutuan) Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali.

Menurut pindaan RUU itu, anak hasil daripada perkahwinan campur diiktiraf sebagai Bumiputera walaupun hanya salah seorang ibu atau bapanya adalah pribumi Sarawak.

Sharifah Hasidah ketika membentangkan RUU itu berkata, ketika ini sebanyak 12 lagi kaum akan dimasukkan sebagai Bumiputera iaitu Bagatan, Bakong, Bemali, Berawan, Dali, Lakiput, Jatti Miriek, Narom, Sa'ban, Tatau, Tring dan Vaie.

"Pindaan ini amat penting serta tepat pada masanya dan ia adalah langkah ke hadapan Sarawak dalam menangani isu itu kerana perkahwinan campur adalah perkara biasa berlaku di negeri ini.

"Susulan pindaan ini, tidak ada lagi keperluan untuk untuk meletakkan status Bumiputera bersandarkan syarat kedua-dua ibu bapa mesti kalangan pribumi Sarawak seperti yang termaktub di dalam ordinan sebelum ini," katanya.

Sharifah Hasidah berkata, pindaan itu akan menyelesaikan banyak masalah perundangan yang serius yang menjejaskan anak kahwin campur khusus isu pewarisan dan pemindahan hak milik tanah.

Menurutnya, dengan pindaan itu juga, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) boleh meminda jadual jika terdapat penambahan kaum selain daripada yang disenaraikan sebagai Bumiputera Sarawak pada masa hadapan.

Terdahulu, seramai 12 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) tampil dalam sesi perbahasan pindaan RUU berkenaan.

Baru Bian (PSB-Ba'kelalan) dalam perbahasan itu berkata, semua anak hasil perkahwinan campur antara anak Sarawak dan bukan anak Sarawak harus diiktiraf sebagai pribumi Sarawak.

Menurutnya, jika itu tidak dilakukan, ramai rakyat Sarawak akan kehilangan status pribumi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Februari 2022 @ 7:30 PM