MATA kail yang tersangkut pada lidah kucing selepas makan keratan ikan umpan memancing. FOTO RAFI MAMAT
MATA kail yang tersangkut pada lidah kucing selepas makan keratan ikan umpan memancing. FOTO RAFI MAMAT
Mohd Rafi Mamat


Rompin: "Dalam tempoh dua tahun, saya sudah menemui lapan kucing jalanan tersangkut mata kail pada lidahnya selepas makan keratan ikan umpan ditinggalkan kaki pancing," kata Ros Haliza Roslan, 40.

Ros Haliza yang menetap di Kampung Pantai Bernas, di sini, berkata keadaan itu berlaku disebabkan sikap pemancing meninggalkan umpan di jeti Kampung Pantai Bernas, di sini.

Menurutnya, haiwan itu terpaksa menanggung kesakitan apabila mata kail bersaiz sederhana itu tersangkut pada mereka.

Katanya, usaha untuk mengeluarkan mata kail berkenaan pula terpaksa dilakukan dengan mengeluarkan sedikit bayaran.

"Kebiasaan saya akan membawa kucing yang cedera bertemu doktor di Pejabat Veterinar Daerah Rompin bagi mencabut mata kail yang tersangkut pada lidah dengan bayaran antara RM10 hingga RM20.

"Saya menangis setiap kali melihat kucing yang mengalami kecederaan termasuk terkena mata kail, tetapi usaha merawat akan dilakukan walaupun terpaksa mengeluarkan perbelanjaan sendiri," katanya.

Ros Haliza yang memiliki 10 ekor kucing berkata, sebanyak lima kucing terkena mata kail ditemui pada tahun lalu, dan dalam tempoh dua bulan tahun ini tiga kes sudah dikesan.

"Tidak mustahil kejadian sama berulang sekiranya tiada kesedaran di kalangan kaki pancing.

"Perbuatan tidak bertanggungjawab pemancing yang meninggalkan keratan ikan umpan memancing bersama mata kail mengundang kepada kejadian terbabit," katanya.

Katanya, jeti Kampung Pantai Bernas menjadi tumpuan pemancing pada hujung minggu kerana perairan di situ terdapat pelbagai jenis ikan.

"Saya merayu kepada pemancing supaya tidak membuang keratan umpan ikan yang masih terdapat mata kail kerana akan mengundang bahaya kepada kucing yang memakannya.

"Pada masa sama, saya tidak sanggup melihat haiwan manja itu menanggung kesakitan hingga menyebabkan tidak boleh makan, sebab itu rawatan segera perlu diberikan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Februari 2022 @ 3:10 PM