AMISYAR Ashman (kiri)  mengaku bersalah sebar gambar lucah di Mahkamah Sesyen Sepang, hari ini. FOTO ihsan pembaca.
AMISYAR Ashman (kiri) mengaku bersalah sebar gambar lucah di Mahkamah Sesyen Sepang, hari ini. FOTO ihsan pembaca.
Samadi Ahmad


Sepang: Seorang pekerja khidmat pelanggan didenda RM5,000 di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, selepas mengaku bersalah atas tuduhan membuat dan memulakan penghantaran komunikasi lucah.

Tertuduh, Amisyar Ashman Zamriyazul, 22, yang tidak diwakili peguam membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Noorhisham Mohd Jaafar.

Amisyar didakwa secara sedar menggunakan aplikasi Twitter membuat dan memulakan penghantaran komunikasi lucah dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain.

Komunikasi itu dilihat oleh pengadu kes iaitu bapa mangsa yang sedang mengawasi anaknya ketika melihat kandungan gambar lucah pada Twitter OKS semasa melayari aplikasi Twitter pada 2019.

Bagi kesalahan itu, tertuduh yang didakwa mengikut Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) berdepan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Nur Nazhzilah Mohammad Hashi.

Nur Nazhzilah memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada Orang Kena Saman (OKS) dan sebagai teladan kepada orang ramai.

Beliau memohon mahkamah mempertimbangkan faktor kepentingan awam memandangkan pengadu asal kes ini adalah seorang bapa yang melihat kandungan bahan lucah membabitkan anaknya ketika melayari laman Twitter.

Di dalam rayuan, OKS menyatakan beliau masih belum berkahwin dan menerima gaji bulanan sekitar RM1,800, mempunyai tanggungan menyara ibu bapa, empat adik serta mengalami penyakit 'anxiety' serta masih menjalani rawatan.

Mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM5,000 dan OKS membayar denda berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Februari 2022 @ 6:39 PM