BAHRIN (tengah) menunjukkan mesin ATM cuba dipecahkan seorang lelaki di sebuah pasar raya di Segamat, malam tadi. FOTO AHMAD ISMAIL.
BAHRIN (tengah) menunjukkan mesin ATM cuba dipecahkan seorang lelaki di sebuah pasar raya di Segamat, malam tadi. FOTO AHMAD ISMAIL.
Ahmad Ismail

[email protected].

Segamat: Seorang lelaki gagal melarikan wang dalam mesin juruwang automatik (ATM) di sebuah pasar raya di Jalan Segamat-Kuantan, di sini, tengah malam tadi.

Dalam kejadian 12.15 tengah malam itu, percubaan lelaki terbabit gagal apabila wang tunai berjumlah RM77,000 itu tersimpan di kotak khas dalam mesin ATM berkenaan.

Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Bahrin Mohd Noh berkata, kejadian disedari anggota keselamatan pasar raya itu selepas melihat rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kios berkenaan, hari ini.

"Pihak pengurusan pasar raya itu membuat satu laporan polis mengenai kejadian itu pada 9.30 pagi hari ini.

"Hasil pemeriksaan daripada CCTV mendapati seorang lelaki sedang mengumpil selain menggunakan alat pembakar mini berdasarkan kesan terbakar di bahagian atas permukaan mesin ATM itu, namun gagal," katanya pada sidang media di IPD Segamat, hari ini.

Bahrin berkata, suspek kemudian melarikan diri tanpa sempat menarik keluar wang tunai di dalam mesin ATM berkenaan.

Beliau berkata, siasatan dijalankan dengan bantuan Unit Forensik IPD Muar serta Unit K9 IPD Segamat.

"Hasil siasatan awal di lokasi kejadian mendapati suspek memasuki pasar raya itu melalui bumbung di bangunan belakang sebelum melarikan diri di laluan sama.

"Hasil rakaman CCTV mendapati suspek berusaha selama sejam untuk melarikan wang tunai di mesin ATM itu sebaik memasuki bangunan pada 11.15 malam, sebelum keluar semula pada 12.15 tengah malam.

"Suspek dipercayai agak mahir berkaitan mesin ATM namun kecanggihan teknologi terkini digunakan pakai pihak pengurusan perbankan menyebabkannya usahanya itu menemui jalan buntu," katanya.

Beliau berkata, onar dilakukan suspek turut menyebabkan struktur kios ATM berkenaan mengalami kerosakan yang dianggarkan mencecah ribuan ringgit.

"Polis menahan tiga pengawal keselamatan lelaki membabitkan seorang warga tempatan, warga Bangladesh serta Nepal berusia 30an bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

"Bagaimanapun pihak polis masih giat menjejaki individu terbabit dan saksi kejadian diminta menghubungi IPD Segamat di talian 07-9312222 atau balai polis berhampiran," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Februari 2022 @ 7:20 PM