GAMBAR yang tular bersama amaran yang viral semalam. FOTO Ihsan PDRM
GAMBAR yang tular bersama amaran yang viral semalam. FOTO Ihsan PDRM
Rosman Shamsudin


Tapah: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah menafikan laporan ada memberi amaran berhubung kehadiran beberapa lelaki menyamar dari syarikat air atau elektrik mahu merompak guna senjata dekat sini.

Laporan palsu yang tular di media sosial itu turut memaparkan empat kad pengenalan lelaki yang kononnya adalah suspek dalam kejadian terbabit.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Wan Azharuddin Wan Ismail berkata pihaknya berjaya mengesan laporan yang tular di media sosial melalui aplikasi WhatsApp yang menggunakan nama IPD Tapah kira-kira jam 11.00 pagi semalam.

Menurutnya, laporan palsu itu memaklumkan terdapat tiga atau empat lelaki mungkin akan melawat rumah dan mendakwa mereka dari syarikat air atau elektrik untuk menukar mentol serta melakukan penjimatan air dan tenaga elektrik sebelum merompak menggunakan senjata.

"Hasil siasatan pihak polis mendapati maklumat viral itu tidak benar dan tiada sebarang rompakan atau pencerobohan berlaku yang dilaporkan kepada pihak polis.

"Pihak IPD Tapah tidak pernah mengeluarkan kenyataan amaran mengenai kejadian terbabit," katanya dalam kenyataan media.

Wan Azharuddin berkata hasil siasatan lanjut juga mendapati laporan terbabit pernah viral pada 2019.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Februari 2022 @ 9:12 AM