Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberi amaran keras kepada sindiket judi dalam talian supaya menghentikan tindakan mereka menggunakan nama pemimpin pasukan itu bagi melariskan kegiatan haram mereka.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, pihaknya memandang serius penyalahgunaan nama PDRM bertujuan memperdaya orang ramai.

"Polis tidak pernah sesekali memberikan lampu hijau kepada mana-mana sindiket yang menjalankan aktiviti judi dalam talian untuk beroperasi.

"Kami memandang serius tindakan sindiket judi online ini yang berani mendakwa kononnya pihak atasan PDRM memberi lampu hijau untuk kegiatan haram mereka kepada awam dan semakin kebal melakukan perbuatan menyalahi undang-undang.

"Kami memberikan amaran keras kepada sindiket ini supaya menghentikan perbuatan mereka (salahguna nama polis) dan tindakan tegas akan diambil tanpa kompromi ke atas mereka yang kini dipantau secara rapat setiap gerak geri aktiviti mereka," katanya pada sidang media di Bukit Aman, hari ini.

Abd Jalil berkata, untuk menghapuskan aktiviti perjudian dalam talian secara keseluruhannya adalah satu cabaran yang sangat besar kerana aktiviti itu wujud disebabkan adanya permintaan daripada orang ramai.

"Kemudahan untuk melayari laman sesawang di mana-mana sahaja juga menjadi faktor kepada pertambahan sindiket perjudian yang menjalankan perjudian dalam talian pada masa kini.

"Namun, polis masih meneruskan aktiviti penguatkuasaan terhadap judi dalam talian dan terbaru menerusi Op Dadu Khas yang dijalankan bermula 15 Januari lalu," katanya.

Menurutnya, operasi yang diadakan serentak di seluruh negara itu yang berakhir semalam berjaya menahan 1,355 pemain dan penjaga menerusi 826 serbuan.

"Sebanyak 2,558 unit komputer riba, tablet dan telefon bimbit selain rampasan wang tunai berjumlah RM189,196 dilakukan. Semua tangkapan disiasat mengikut Akta Rumah Judi Terbuka 1953," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Februari 2022 @ 3:00 PM