AHMAD Irfan mendapatkan suntikan vaksin ketika Program Imunisasi Covid-19 Kanak Kanak (PICKids) di PPV Ideal Convention Centre, Shah Alam. FOTO Hairul Anuar Rahim
AHMAD Irfan mendapatkan suntikan vaksin ketika Program Imunisasi Covid-19 Kanak Kanak (PICKids) di PPV Ideal Convention Centre, Shah Alam. FOTO Hairul Anuar Rahim
Yusmizal Dolah Aling


Shah Alam: Keceriaan jelas terpancar di wajah kanak-kanak yang menjadi kumpulan pertama mengambil vaksin di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Ideal Convention Centre (IDCC), di sini, hari ini.

Mereka yang ditemani ibu bapa sedia menunggu sejak awal biarpun pusat berkenaan dibuka bermula jam 12 tengah hari.

Pekerja swasta, Ahmad Syafik Salim, 39, berkata, dia bersama isteri, Rahil Khamarudin, 33, mula mendaftarkan dua anak mereka sejak pendaftaran di MySejahtera dibuka.

Katanya, dengan suntikan berkenaan, dia berharap dua anaknya, Ahmad Aqra, 9, dan Ahmad Irfan, 7, terlindung daripada jangkitan Covid-19.

"Saya bekerja kilang dan sudah beberapa kali menjalani ujian 'swab'. Sebelum ini pernah ada kes di kilang, tetapi selepas vaksin, boleh kata tiada lagi kes jangkitan.

"Sebab itu saya mahu anak-anak mendapat perlindungan sama supaya mereka terus sihat," katanya.

Seorang lagi bapa, Sharizan Sumuui, 42, berkata, dia mendaftarkan anaknya, Amir Syakir, 11, dan Sumayyah, 9, untuk menerima vaksin sejak tahun lalu kerana yakin ia adalah usaha terbaik memberi perlindungan kepada mereka.

Katanya, sebelum ini seorang lagi anaknya yang berusia 14 tahun sudah divaksin manakala seorang lagi sedang menunggu giliran.

"Saya selalu keluar bekerja, jadi perasaan bimbang boleh menjangkiti mereka sentiasa ada. Sekurang-kurangnya bila sudah divaksin, dapat melindungi mereka," katanya.

Sementara itu, Pengurus PPV IDCC, Dr Nur Es Naini Awalludin berkata, segala urusan pemberian vaksin di situ berjalan lancar, hari ini.

Katanya, semua 230 tempahan vaksin yang dibuat awal akan diberikan seperti dijadualkan.

Menurutnya, pihaknya menasihati ibu bapa agar datang tepat pada masanya dan memastikan dokumen yang diperlukan dibawa bersama.

"Paling elok jika anak bersarapan terlebih dahulu supaya lebih tenang dan jangan bimbang kerana petugas di sini akan memberikan bantuan yang diperlukan," katanya.

#kw vaksin, idcc, kanak-kanak

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Februari 2022 @ 1:56 PM