Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Ekonomi Malaysia berada pada landasan tepat ke arah pemulihan berdasarkan pembukaan semula lebih daripada 90 peratus sektor ekonomi dan kebanyakan aktiviti sosial.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pemulihan itu juga disokong kadar vaksinasi yang tinggi dengan hampir keseluruhan populasi sudah divaksin.

Menurutnya, dengan momentum pemulihan, Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) berada pada landasan yang kukuh untuk terus berkembang antara 5.5 peratus dan 6.5 peratus tahun ini.

"Ia selari dengan unjuran Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) pada 6.0 peratus dan Bank Dunia pada 5.8 peratus.

"Pertumbuhan ini akan dipacu terutamanya oleh Bajet 2022 yang mengembang bernilai RM332.1 bilion, mengukuhkan normalisasi dalam aktiviti ekonomi dan sosial.

"Penyambungan semula projek dengan kesan pengganda tinggi dan permintaan luar yang kukuh terutamanya daripada rakan dagang utama juga meningkatkan pertumbuhan ekonomi," katanya dalam perutusan Tahun Baharu Cina 2022, hari ini.

Beliau berkata, semua kemajuan itu sejajar hasrat kerajaan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) untuk mencapai negara berpendapatan tinggi menjelang 2025 melalui pelbagai inisiatif yang digariskan.

PERDANA Menteri pada sidang media bersama pengamal media Malaysia selepas mengakhiri lawatan rasmi beliau ke Thailand, di sini hari ini. FOTO Bernama
PERDANA Menteri pada sidang media bersama pengamal media Malaysia selepas mengakhiri lawatan rasmi beliau ke Thailand, di sini hari ini. FOTO Bernama

Dalam pada itu, Perdana Menteri mengucapkan Selamat Tahun Baharu Cina kepada seluruh Keluarga Malaysia yang berketurunan Tionghua.

"Selepas dua tahun terpaksa menyambutnya dari kejauhan dan terpisah dengan keluarga, tahun ini masyarakat Tionghua dapat kembali meraikan Tahun Baharu Cina bersama ibu bapa dan keluarga tercinta.

"Peluang yang dinikmati ini diharap dapat mengerat dan mengukuhkan lagi hubungan kekeluargaan. Namun di kala bergembira, usah dilupakan prosedur operasi standard (SOP) dalam memastikan kita semua dapat terus hidup, pada masa sama membendung penularan wabak Covid-19," katanya.

Beliau turut mengucapkan penghargaan kepada seluruh masyarakat Cina yang berganding bahu dengan kaum lain seperti Melayu, India, Kadazan, Dusun, Murut, Iban, Bidayuh dan Melanau sebagai sebuah Keluarga Malaysia.

"Sempena Tahun Harimau ini, diharap segala usaha kerajaan untuk memastikan kestabilan ekonomi serta kesejahteraan rakyat dapat dipertingkatkan sehingga ke tahun seterusnya.

"Marilah kita terus bersatu hati menyokong usaha kerajaan untuk memulih dan menstrukturkan semula ekonomi negara bagi menjadikan Malaysia sebuah negara maju sepenuhnya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 January 2022 @ 9:02 PM