GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Rafidah Mat Ruzki


Putrajaya: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), semalam mencatatkan kes kematian terendah akibat Covid-19 sejak 23 April 2021 iaitu lima kes termasuk tiga kematian di luar fasiliti kesihatan (BID).

Data dalam laman sesawang COVIDNOW menunjukkan setakat ini, sejumlah 31,957 kes kematian dengan 6,441 kes membabitkan BID.

Ia membabitkan masing-masing satu kematian di Kelantan, Melaka, Pahang, Pulau Pinang dan Selangor.

Pada masa sama, sebanyak 51,397 kes positif Covid-19 masih lagi aktif ketika ini.

Daripada jumlah itu, majoriti kes iaitu 43,938 menjalani kuarantin di rumah; 4,392 kes dirawat di Pusat Rawatan dan Kuarantin (PKRC) dan seramai 2,948 pesakit menjalani rawatan di hospital.

Sementara itu, sebanyak 97,300 dos vaksin Covid-19 diberikan semalam, menjadikan sejumlah 63,384,672 dos vaksin sudah diberikan setakat ini.

Ketika ini, 97.9 peratus daripada populasi dewasa negara sudah melengkapkan pelalian terhadap Covid-19 manakala sebanyak 88.6 peratus remaja berusia 12 hingga 17 tahun juga sudah melengkapi vaksinasi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 January 2022 @ 12:19 PM