Foto hiasan
Foto hiasan
Ahmad Johari Mohd Ali

Kuala Lumpur: Bekas Ketua Pegawai Kewangan (CFO) 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Azmi Tahir menafikan bahawa beliau adalah pegawai dari Malaysia yang dinyatakan dalam tuduhan menerima rasuah daripada bekas Pengarah Asia Goldman Sachs, Tim Leissner.

Azmi selaku saksi ke-12 pendakwaan dalam prosiding di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur itu hari ini turut menafikan cadangan peguam Tania Scivetti yang mewakili Datuk Seri Najib Razak, bahawa beliau tidak didakwa di mahkamah walaupun berperanan sebagai penandatangan dokumen, sebagai balasan memberikan keterangan terhadap bekas Perdana Menteri itu.

Scivetti menimbulkan persoalan itu dengan menyatakan seramai 16 pegawai Goldman Sachs turut menghadapi pendakwaan berkaitan skandal 1MDB.

Perkara berkenaan dicadangkan Scivetti ketika menyoal balas Azmi, apabila merujuk saksi kepada pengakuan bersalah Leissner pada 2018 atas dua tuduhan jenayah di mahkamah Amerika Syarikat membabitkan skandal 1MDB.

Leissner, 52, didakwa mengubah wang haram dengan melanggar Akta Pencegahan Rasuah Pegawai Asing (FCPA) melalui pemberian rasuah terhadap pegawai di Malaysia dan di Abu Dhabi.

Beliau juga didakwa menipu institusi kewangan terkemuka dunia itu. Susulan pengakuan bersalah itu, Leissner akan mengembalikan wang sebanyak RM180 juta (43.7 juta dolar Amerika Syarikat) kepada kerajaan Amerika Syarikat.

Scivetti mencadangkan bahawa pegawai dari Malaysia yang dimaksudkan dalam pertuduhan itu adalah Azmi dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB iaitu Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi dan Mohd Hazem Abd Rahman.

Azmi bagaimanapun menafikan cadangan peguam bela itu.

Sementara itu, Scivetti menyoal balas saksi berhubung pembiayaan oleh subsidiari 1MDB iaitu 1MDB Energy (Langat) Limited (1MELL) pada 2012 melalui penerbitan bon berjumlah 1.75 bilion dolar Amerika Syarikat selama 10 tahun dengan kadar faedah tahunan 5.75 peratus dan pembiayaan berasingan berjumlah RM700 juta daripada Affin Investment Bank dan AmInvestment Bank bagi pembelian aset tenaga, Mastika Lagenda Sdn Bhd.

Peguam kemudiannya mencadangkan bahawa saksi menerima rasuah daripada Goldman Sachs dan sebagai balasan beliau membantu institusi kewangan itu memperoleh keuntungan daripada penerbitan bon berkenaan.

Menurut Scivetti, kegagalan Azmi untuk merundingkan kadar faedah yang lebih rendah bagi pembiayaan oleh 1MELL (di mana saksi adalah pengarah) membolehkan Goldman Sachs mendapat keuntungan besar daripada kadar faedah yang tinggi.

Scivetti kemudiannya mencadangkan bahawa Azmi, Shahrol Azral dan Mohd Hazem menerima rasuah daripada Goldman Sachs, bagaimanapun saksi itu menjawab, "Saya tidak mengetahui mengenai yang lain, saya tidak bersetuju (dengan cadangan itu)."

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah akan bersambung 14 Mac ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 January 2022 @ 5:55 PM