NAJIB hadir untuk perbicaraan kes yang dihadapinya berhubung dana 1MDB di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini. FOTO BERNAMA
NAJIB hadir untuk perbicaraan kes yang dihadapinya berhubung dana 1MDB di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Kuala Lumpur: Mahkamah Tinggi di sini menolak permohonan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menangguhkan perbicaraan berkaitan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) sementara menunggu satu keputusan berkaitan tindakan undang-undang di Mahkamah Amerika Syarikat.

Peguam Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah sebelum ini memberitahu mahkamah bahawa anak guamnya sedang memohon bagi mendapatkan nama pegawai 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang didakwa menerima rasuah daripada Goldman Sachs Group Inc dan bekas pengarahnya Tim Leissner.

"Dalam prosiding di mahkamah AS, yang menyaksikan Leissner dan Goldman Sachs mengaku bersalah, Leissner berkata dan mengakui kenyataan bahawa beliau telah membayar rasuah kepada beberapa pegawai dalam 1MDB.

"Mereka mengaku perbuatan rasuah dan sehubungan itu kami menfail permohonan penemuan, dan meminta supaya Leissner dan Goldman Sachs mendedahkan nama-nama mereka yang menerima rasuah," katanya dan menambah bahawa permohonan yang dibuat selaras dengan United States Code (USC) itu difail pada 17 November lalu.

Muhammad Shafee berkata, pendedahan nama mereka, adalah relevan dengan kes pembelaan, bagi menunjukkan bahawa saksi tidak mempunyai kredibiliti malah mereka sebenarnya adalah instrumen bagi ahli perniagaan yang sedang diburu, Low Taek Jho atau Jho Low.

"Pihak pembelaan juga boleh menunjukkan bahawa Jho Low, Leissner dan Goldman Sachs telah bekerjasama untuk masuk serta merosakkan 1MDB, dan menggunakan wang daripada syarikat itu untuk pelbagai kegunaan.

"Selepas mendapat dokumen-dokumen yang berkaitan menerusi permohonan itu, kami juga bercadang untuk memanggil semula beberapa saksi, termasuk ketua pegawai eksekutif 1MDB Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi dan Datuk Amhari Efendi Nazaruddin, bekas pegawai khas kepada bekas perdana menteri untuk pemeriksaan balas," katanya.

"Ini (penemuan) amat relevan kerana saya telah bertanya kepada Shahrol Azral mengapa dia hanya mengikut sahaja apa yang dikatakan Jho Low.

"Begitu juga, kita akan mendapati agak mengejutkan pendedahan yang dibuat oleh Mohd Hazem Abd Rahman (saksi semasa pihak pendakwaan), kerana dia beritahu bahawa arahan-arahan Jho Low perlu dipatuhi," katanya.

Beliau berkata, semua ini akan menjawab sama ada semua karekter berkenaan menerima pembayaran haram, yang merupakan perkara didedahkan dalam prosiding Leissner and Goldman Sachs di Amerika Syarikat.

Muhammad Shafee turut memohon mahkamah menangguhkan perbicaraan 1MDB kerana pihak pembelaan amat memerlukan masa untuk bersiap sedia dalam pendengaran rayuan Najib berhubung sabitan dan hukuman terhadapnya berkaitan kes SRC International Sdn Bhd di Mahkamah Rayuan.

"Kami perlu menghantar hujah bertulis menjelang 1 Mac ini," kata Muhammad Shafee.

Sementara itu timbalan pendakwa raya Ahmad Akram Gharib berkata pihak pendakwaan mengambil berat soal perbicaraan yang seharusnya diteruskan dan tidak akan campur tangan dalam permohonan di Amerika Syarikat, kerana mereka bukan pihak yang terlibat dalam kes berkenaan.

"Bagaimanapun memandangkan permohonan di Amerika Syarikat amat penting bagi pihak pembelaan, kami serahkan kepada pihak mahkamah nutuk memutuskan sekiranya perbicaraan perlu diteruskan atau ditangguhkan," katanya.

Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak, Hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah kemudiannya menolak permohonan penangguhan, namun menetapkan satu tarikh perbicaraan pada bulan April ini.

"Pihak pembelaan boleh memanggil semula mana-mana saksi pendakwaan untuk disoal semula sekiranya ada keperluan, atau sekiranya ada sebarang maklumat berkaitan perkara itu di mahkamah Amerika Syarikat. Saya bersimpati dengan situasi anda, tapi kita perlu meneruskan perbicaraaan kes rasuah 1MDB ini," kata hakim berkenaan.

Perbicaraan kemudian diteruskan dengan pemeriksaan balas saksi ke-10 pihak pendakwaan Mohd Hazem oleh peguam Wan Aizuddin Wan Mohammed.

Najib, 67, berhadapan dengan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya bagi mendapatkan rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan penggubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

Perbicaraan diteruskan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Februari 2021 @ 3:44 PM