TANGKAP layar daripada video berkenaan. FOTO Ihsan Pembaca
TANGKAP layar daripada video berkenaan. FOTO Ihsan Pembaca
Rosli Ilham

am@hmetro,com.my

Dungun: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) akan melakukan siasatan berhubung sebuah klip video didakwa memaparkan kemunculan seekor harimau di kawasan Kampung Santong, Paka, dekat sini, malam tadi.

Pengarah Perhilitan Terengganu, Loo Kean Seong berkata, setakat ini, pihaknya masih belum menerima sebarang laporan berhubung dengan penemuan haiwan itu.

Bagaimanapun katanya, pihaknya akan segera menjalankan siasatan termasuk membuat pemantauan dari semasa ke semasa.

"Memandangkan ada hutan simpan berdekatan, iaitu Hutan Simpan Rambai Daun, sekiranya tidak ada konflik atau kacau ganggu, biasanya kita akan pantau dan tindakan lain akan diambil mengikut keperluan," katanya.

Menerusi video berdurasi 33 saat itu, kelibat harimau dipercayai dirakam seorang pemandu kenderaan yang terserempak dengan haiwan itu yang keluar dari sebuah kawasan semak di situ.

Harimau terbabit kemudiannya dipercayai melintasi laluan berbatu di situ yang menjadi laluan yang digunakan penduduk kampung.

Rata-rata pengguna Facebook terkejut dan bimbang dengan kemunculan haiwan berkenaan.

Dalam kejadian 14 Januari lalu, seorang penternak, Ramli Mohamad, 65, dari Kampung Chabang, Kerteh mendapati seekor daripada 25 lembu ternakannya mati dibaham harimau.

Sehingga kini, harimau berkenaan masih belum ditangkap.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 January 2022 @ 9:33 AM