Peniaga ikan berniaga di Pasar Besar Jalan Othman. FOTO ASWADI ALIAS
Peniaga ikan berniaga di Pasar Besar Jalan Othman. FOTO ASWADI ALIAS
Hajar Umira Md Zaki


Petaling Jaya: Peniaga di pasar awam susah hati apabila terpaksa menjual sayur-sayuran dan ikan dengan harga yang tidak menentu ketika ini.

Tinjauan Harian Metro di Pasar Besar Jalan Othman, di sini hari ini mendapati peniaga mengenakan harga mengikut kemasukan bekalan harian.

Peniaga sayur, Pathma Perumal, 40, berkata, harga jualan sayurnya turun naik kerana terpaksa mengenakan berdasarkan apa yang diperoleh daripada pemborong secara harian.

"Buat masa ini, antara sayur yang terpaksa dinaikkan harga adalah buncis (RM16 sekilo), terung bulat, tomato dan kacang bendi.

"Kacang bendi sebelum ini boleh dijual serendah RM8 sekilo, tetapi sekarang boleh mencecah dua kali ganda mengikut harga harian daripada pembekal," katanya ketika ditemui.

Dia mengakui menerima banyak rungutan dan dipersoal pelanggan berhubung harga jualan tidak menentu hingga menjadi serba salah.

Katanya, sukar untuknya mengawal harga jualan disebabkan bekalan daripada pembekal diperoleh pada harga tidak menentu.

Penjual ikan, Aznan Din, 54, pula mengakui harga ikan dijual meningkat seperti siakap, bawal besar serta ikan tenggiri.

"Hari ini ikan kembung naik harga sekitar RM20 sekilo berbanding RM16 sebelum ini.

"Apa yang membuatkan harga ikan naik adalah cuaca, kerana ada hari sekiranya kami dapat ikan banyak, harga juga akan turun," katanya.

Aznan berkata, dia merasa bersalah menaikkan harga namun berharap pelanggan faham kerana dia sendiri menerima bekalan ikan pada harga yang tinggi daripada pemborong, selain perlu memikirkan kos lain termasuk sewa gerai.

Sementara itu, peniaga kedai makan, Fitri Musa, 37, yang juga pelanggan tetap di Pasar Jalan Othman berkata, dia memahami ketidaktentuan harga yang berlaku ketika ini dan ia membabitkan rantaian bekalan.

"Bagi saya, ini bukan salah sesiapa atau salah peniaga kerana memahami mereka juga perlu keuntungan daripada jualan mereka.

"Pihak berkuasa yang perlu membuat pemantauan terhadap harga barangan pasaran, bukan sahaja sayur-sayuran, tetapi juga bahan basah yang lain," katanya.

Pembeli, Hanizam Abd Karim, 38, mengakui harga sayur agak tinggi hari ini, manakala ikan dibelinya pada kadar sama.

Bagaimanapun, katanya, sehingga kini dia masih mampu membeli barang keperluan di pasar dan menganggap harga ditawarkan belum capai tahap membebankan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 January 2022 @ 2:28 PM