Rafiqah Dahali

Papar: Keselamatan perairan di Sabah lebih terjamin menerusi penerimaan sebuah lagi Kapal Misi Pesisir (LMS), Rencong kepada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) hari ini.

Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, aset itu adalah LMS keempat yang diterima TLDM di sini, selepas KD Keris, KD Sundang dan KD Badik.

Menurutnya, penyerahan fizikal Rencong dilaksanakan pada 18 Disember lalu di Qidong, China.

Mengulas lanjut, Rencong bakal ditauliah pada 28 Januari ini seterusnya menyertai Skuadron LMS Ke-11 di Pangkalan TLDM Kota Kinabalu.

"Misi utama skuadron kapal ini adalah bagi menangkis ancaman asimetri, pengawasan kawasan operasi, rondaan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE), tugas-tugas sokongan kepada 'Military Operation Other Than War' (MOOTW) serta sebagai platform sokongan kepada tugasan dalam keadaan aman, konflik mahupun perang.

"LMS adalah satu daripada lima kelas kapal dalam Program Transformasi Armada '15 to 5'. Kontrak perolehan empat LMS ini dimeterai di antara Kementerian Pertahanan Malaysia (Mindef) dengan Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNSSB) pada 23 Mac 2017 dengan kerjasama 'China Shipbuilding & Offshore International Co Ltd' (CSOC)," katanya.

KAPAL Misi Pesisir (LMS) milik TLDM yang diberi nama, Rencong, berlabuh di Pangkalan TLDM Kota Kinabalu. FOTO Mohd Adam Arinin
KAPAL Misi Pesisir (LMS) milik TLDM yang diberi nama, Rencong, berlabuh di Pangkalan TLDM Kota Kinabalu. FOTO Mohd Adam Arinin

Beliau berkata demikian pada sidang media khas selepas sesi taklimat sempena lawatan kerjanya di Markas Divisyen Kelima Infantri Kem Lok Kawi di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Menteri Datuk Hajiji Noor dan Panglima 5 Divisyen Mejar Jeneral Datuk Mohd Halim Khalid.

Dalam pada itu, Hishammuddin turut berkata, TLDM bakal memanfaatkan empat LMS itu dengan sebaik mungkin bagi mengukuhkan lagi tahap keselamatan di kawasan perairan Sabah.

"Ini termasuklah melalui peningkatan rondaan bagi menangani kegiatan jenayah rentas sempadan seperti kemasukan pendatang asing tanpa izin (Pati) melalui jalan laut serta menangani aktiviti pelanunan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 January 2022 @ 7:20 PM