HANYA tinggal batu tiang rumah selepas kediaman Azzurina dihanyutkan banjir di Kampung Puom pada 18 Disember lalu. FOTO Abnor Hamizam Abd Manap
HANYA tinggal batu tiang rumah selepas kediaman Azzurina dihanyutkan banjir di Kampung Puom pada 18 Disember lalu. FOTO Abnor Hamizam Abd Manap
Abnor Hamizam Abd Manap

Jelebu: "Rumah saya hilang entah ke mana akibat banjir besar 18 Disember lalu. Apa yang tersisa hanyalah tinggalan batu tiang rumah sebagai kenang-kenangan," ujar mangsa banjir Azazurina Hussin, 33, yang menetap di Kampung Puom di sini.

Menurutnya, walaupun bencana itu sudah 19 hari berlalu, namun dia dan keluarga masih menghuni Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Orang Ramai Kampung Puom di sini.

Katanya, banjir yang baru berlaku itu adalah terburuk pernah dialaminya di daerah ini.

"Walaupun sudah biasa berdepan banjir saban tahun namun saya tidak menyangka bencana banjir kali ini memusnahkan rumah saya sepenuhnya.

"Saya hanya mengetahui apa yang berlaku selepas dimaklumkan penduduk kampung. Ketika itu saya sedang memberi bantuan kepada penduduk kampung terjejas banjir.

"Luluh hati saya melihat keadaan rumah pusaka yang hilang entah ke mana dibawa arus deras," katanya ketika ditemui wartawan tadi.

Sementara itu persiapan sesi baharu persekolahan untuk dua anaknya yang akan bermula minggu depan tetap akan dilakukan termasuk melalui bantuan Baitulmal.

Katanya dia dan keluarga juga tidak sabar menantikan rumah baharu yang akan dibina dengan bantuan kerajaan kelak.

"Lokasi sedia ada tidak lagi sesuai untuk rumah baharu dibina berikutan kebimbangan banjir besar akan berulang. Saya akur dengan nasihat pihak berkuasa supaya berpindah ke lokasi lain.

"Saya berharap rumah baharu itu dapat dibina dengan segera biarpun memahami ia akan mengambil masa untuk disiapkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 January 2022 @ 6:12 PM