ISMAIL Sabri. FOTO Arkib Bernama
ISMAIL Sabri. FOTO Arkib Bernama
Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Seramai 28,258 daripada 46,162 Ketua Isi Rumah (KIR) yang terkesan dengan banjir menerima Bantuan Wang Ihsan (BWI) setakat semalam.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, bantuan berjaya diagihkan dalam tempoh 10 hari kepada mangsa terkesan banjir berbanding tiga hingga enam bulan sebelum ini.

"Daripada 51 kematian akibat bencana banjir yang direkodkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sehingga semalam, seramai 38 waris mangsa sudah menerima BWI Pengurusan Kematian.

"Selain itu, lima negeri iaitu Kelantan, Wilayah Persekutuan, Melaka, Terengganu dan Perak mencapai 100 peratus pembayaran BWI kepada KIR yang terkesan manakala Pahang mencapai 65.5 peratus, Negeri Sembilan (82.7 peratus) dan Selangor (47.6 peratus)," katanya dalam kenyataannya, hari ini.

Kenyataan itu dikeluarkan selepas beliau mempengerusikan Mesyuarat Khas Task Force Pengurusan Pasca Banjir Bencana Monsun Timur Laut (MTL) 2021/2022 dan menerima taklimat status tindakan daripada enam kluster yang ditubuhkan bagi mengurus inisiatif Pasca Banjir Bencana MTL.

Ismail Sabri (duduk kanan sekali) ketika Mesyuarat Khas Task Force Pengurusan Pasca Banjir Monsun Timur Laut 2021/2022. FOTO Ihsan Pejabat Perdana Menteri
Ismail Sabri (duduk kanan sekali) ketika Mesyuarat Khas Task Force Pengurusan Pasca Banjir Monsun Timur Laut 2021/2022. FOTO Ihsan Pejabat Perdana Menteri

Mesyuarat dihadiri Menteri Besar, Ketua-Menteri, Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Ketua Setiausaha Negara, Ketua Setiausaha Kementerian, Setiausaha Kerajaan Negeri, Panglima Angkatan Tentera, Ketua Polis Negara, Ketua Pengarah agensi berkaitan, Timbalan Ketua Pengarah Bomba dan Penyelamat, Pengarah Pembangunan Negeri dan ketua jabatan.

Ismail Sabri berkata, penyelarasan bagi mempermudahkan urusan agihan BWI supaya lebih cepat dan efektif, Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) menubuhkan Command Centre dengan pemantau harian dibuat secara real time bermula 27 Disember lalu.

"Penyelarasan yang dibuat dengan kerjasama Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), PDRM, Majlis Keselamatan Negara (MKN), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Pejabat Daerah ini dijangka selesai diagihkan pada 5 Januari (Rabu) ini.

"Bagaimanapun ia tidak termasuk bayaran BWI kepada mangsa banjir gelombang kedua," katanya.

Menurutnya, sejumlah RM33 juta daripada RM93 juta permohonan Pinjaman Mikro Bank Simpanan Nasional (BSN) untuk isi rumah diluluskan setakat 1 Januari lalu.

"Bagi sumbangan GLC Disaster Recovery Network (GDRN), 60 peratus daripada sumbangan berjumlah RM58 juta berjaya dilaksanakan.

"Berikutan pengumuman kerajaan mengenai pemberian Baucer Pembelian Barangan Elektrik, Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KetSA) akan menggunakan mekanisme Sustainability Achieved via Energy Efficiency (SAVE) yang mana penerima boleh mula membuat pembelian di premis terpilih atau secara dalam talian bermula 7 Januari ini.

"Pada tarikh sama, diskaun dan Baucer Pembaikan Kenderaan juga akan terpakai bagi pembaikan dari 19 Disember 2021," katanya.

Menurutnya, permohonan bagi Pinjaman Bantuan Bencana untuk PMKS (BNM) mula dibuka untuk permohonan pada 27 Disember lalu.

"Permohonan moratorium sehingga enam bulan bagi pinjaman sedia ada boleh dibuat bermula 19 Disember 2021.

"Bagi Pinjaman Tekun untuk PMKS yang diumumkan pada 20 Disember lalu, pelaksanaan sudah pun bermula pada 1 Januari 2022 membabitkan dana sebanyak RM30 juta," katanya.

Beliau berkata, bagi inisiatif Pembersihan dan Pembaikan Infrastruktur Awam dana berjumlah RM25 juta diperuntukkan kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Kementerian Pertahanan Malaysia (MinDef) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN).

"Selain itu, KPKT melaporkan sehingga semalam, kerja pembersihan bagi lima negeri iaitu Selangor 82 peratus, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 100 peratus, Negeri Sembilan (95 peratus), Pahang (77 peratus) dan Melaka (100 peratus) selesai.

"Dianggarkan sebanyak 53,800 tan sisa banjir diurus menggunakan 2,730 jentera," katanya.

Katanya, Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP) akan dilaksanakan selepas tamat MTL bagi membincangkan pelan jangka pendek dan jangka panjang pengurusan banjir negara.

"Bagi meningkatkan tahap perlindungan infrastruktur saliran dan pantai, Kementerian Alam Sekitar dan Air (Kasa) mencadangkan peningkatan tahap perlindungan atau kala ulangan reka bentuk infrastruktur saliran dan pantai daripada 100 tahun Average Recurrence Interval (ARI) kepada 200 tahun ARI.

"Selain itu, cadangan penambahbaikan Jabatan Meteorologi Malaysia membabitkan Sistem Amaran Siren Banjir Berpusat di koordinasi oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), contoh di Sri Muda, siren amaran dibunyikan sebagai amaran kepada penduduk," katanya.

Selain itu, Ismail Sabri berkata, kerajaan juga akan menambahkan lagi jumlah siren yang dilengkapi amaran suara di lokasi berisiko untuk mengarahkan penduduk berpindah.

"Kamera Litar Tertutup (CCTV) di stesen pemantauan aras air supaya penduduk bersedia untuk berpindah sekiranya air berada pada paras bahaya serta Ramalan Cuaca Berangka," katanya.

Bagi pemulihan infrastruktur, beliau berkata, Kementerian Kerja Raya (JKR) memaklumkan terdapat 895 lokasi bencana dikesan sepanjang MTL 2021/2022 membabitkan lokasi banjir, banjir kilat, cerun runtuh, jalan runtuh, jalan mendap, dan jambatan runtuh atau rosak dengan inisiatif pemulihan berjumlah RM967.2 juta.

"Sebanyak 802 lokasi selesai aktiviti pembersihan iaitu di Kedah tiga kawasan dari lapan keseluruhan kawasan terbabit, Perak 17 (17), Selangor 134 (162), Negeri Sembilan 45 (62), Melaka 17 (22), Johor 6 (6), Pahang 533 (566), Terengganu 13 (14) dan Kelantan 34 (38).

"Pembaikan kekal dijangka dilaksanakan bermula Januari 2022 dan selesai pada Jun ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 January 2022 @ 4:51 PM