SOFFIAN (kiri) pada sidang media. FOTO ihsan Polis
SOFFIAN (kiri) pada sidang media. FOTO ihsan Polis
Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: Polis Pulau Pinang akan mengadakan operasi membabitkan semua jabatan bermula malam sambutan Tahun Baharu 2022 bagi memastikan masyarakat mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Dalam Negeri (MKN).

Seramai hampir 1,000 pegawai dan anggota polis yang terbabit bagi pemantauan di kawasan tumpuan dan lalu lintas sekitar negeri.

Ketua Polis Daerah Timur Laut Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, pengusaha premis juga dinasihati supaya mengikut waktu operasi dan syarat lesen premis seperti yang ditetapkan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Menurutnya, pemilik premis juga diingatkan supaya mengehadkan jumlah pelanggan terutama di restoran selain mematuhi penjarakan fizikal.

"Banyak kelab malam yang menjalankan operasi sebagai restoran sejak pandemik Covid-19, jadi mereka perlu mematuhi syarat yang dikeluarkan PBT, manakala sebarang aktiviti hiburan dan kelab malam masih tidak dibenarkan.

"Aktiviti bermain bunga api juga tidak dibenarkan dan setakat ini polis Pulau Pinang tidak mengeluarkan apa-apa permit kepada mana-mana pihak bagi membenarkan dan membakar bunga api ketika ambang tahun baru," katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang di sini, hari ini.

Dalam perkembangan lanjut, Soffian berkata, PDRM juga akan memastikan kelancaran aliran trafik di Pulau Pinang yang menjadi tumpuan pengunjung pada cuti umum dan hujung minggu.

Pihaknya juga menjangka akan berlaku pertambahan kenderaan dan aliran trafik khususnya di daerah yang mempunyai tarikan pelancongan.

"Pulau Pinang menerima peningkatan aliran trafik sehingga 40 peratus sempena cuti sekolah, cuti akhir tahun dan sambutan awal tahun 2022.

"Sehubungan itu, polis ingin mengingatkan orang ramai supaya mematuhi peraturan jalan raya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Disember 2021 @ 1:39 PM