NASARUDIN (kanan) meneliti pakaian terpakai yang bertimbun di Masjid al-Wakil, Lubok Cina. Foto Hassan Omar
NASARUDIN (kanan) meneliti pakaian terpakai yang bertimbun di Masjid al-Wakil, Lubok Cina. Foto Hassan Omar
Hassan Omar


Masjid Tanah: "Tolong jangan hantar pakaian terpakai lagi kerana yang sudah ada pun masih bertimbun bak bukit dalam masjid.

"Kami perlukan sumbangan kewangan dan kotak bagi menyimpan pinggan mangkuk yang tiada tempat untuk disimpan akibat banjir besar," kata Pengerusi Masjid al-Wakil di pekan Lubok Cina, dekat sini, Nasarudin Mohamad, 60.

Dia berkata, sejak banjir besar melanda masjid itu dan beberapa kampung sekitarnya pada 18 Disember lalu, masjid berkenaan tidak putus menerima sumbangan pakaian terpakai, peralatan dapur dan wang.

Katanya, pada mulanya dia dan ahli jawatankuasa (AJK) masjid bersedia menerima sumbangan pakaian terpakai untuk diagihkan kepada mangsa banjir.

Bagaimanapun, selepas 10 hari banjir surut, pihak pengurusan masjid menghadapi masalah untuk menempatkan pakaian terpakai yang bertimbun bagaikan busut.

"Kami mengucapkan syukur kepada Allah dan terima kasih kepada mereka yang bermurah hati menyedekahkan pakaian terpakai tetapi sekarang kami tidak tahu ke mana pakaian itu harus dihantar kerana sudah terlalu banyak," katanya ketika ditemui di masjid itu hari ini.

Noja masjid itu, Muhamad Yazid Abd Majid, 75, meminta mangsa banjir di Kampung Telok Berembang, Pengkalan Pauh dan Taman Wira Indah supaya segera mengambil pakaian terpakai dan peralatan seperti mesin basuh dan penapis air yang disedekahkan orang ramai.

"Kami amat berterima kasih kepada mereka yang bermurah hati menginfakkan pakaian, peralatan dan wang tunai tetapi sekarang kami terpaksa membersihkan ruang bukan solat daripada longgokan pelbagai barang," katanya.

Sementara itu, Mangsa banjir, Habsah Hassan, 62, berkata, dia terpaksa mengambil pakaian terpakai di masjid itu berikutan sebahagian besar pakaiannya dan anggota keluarga masih belum dibersihkan selepas terendam dalam banjir.

"Pertama kali taman saya dinaiki air dan pertama kali juga saya terpaksa mengambil pakaian terpakai sumbangan orang ramai.

"Saya ucapkan jutaan terima kasih kepada mereka yang sudi menginfakkan pakaian dan peralatan dapur," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Disember 2021 @ 1:14 PM