LEE dibawa ke Mahkamah Majistret Ayer Keroh, hari ini, atas pertuduhan memandu dalam keadaan mabuk sehingga menyebabkan kematian. FOTO NURALIAWATI SABRI.
LEE dibawa ke Mahkamah Majistret Ayer Keroh, hari ini, atas pertuduhan memandu dalam keadaan mabuk sehingga menyebabkan kematian. FOTO NURALIAWATI SABRI.
Nuraliawati Sabri


Melaka: Seorang penyelia syarikat hiasan dalaman mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Ayer Keroh, di sini, hari ini, atas pertuduhan memandu dalam keadaan mabuk sehingga menyebabkan kematian pengguna jalan raya lain.

Tertuduh, Lee Han Wee, 42, membuat pengakuan itu sejurus pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Azureen Sahira Sauffee Apandi.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memandu kereta di bawah pengaruh alkohol dalam darah sehingga menyebabkan kemalangan dan menyebabkan kematian Abdul Rahim Mohamad.

Kesalahan itu dilakukan tertuduh di Jalan Limbongan, Melaka Tengah, pada 12.45 tengah malam, pada 29 November 2021.

Justeru, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (pindaan) 2020 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang 10 tahun dan tidak lebih 15 tahun dan denda RM50,000 dan tidak lebih RM100,000.

Jika disabit kesalahan, tertuduh hilang kelayakan memegang lesen memandu sehingga 10 tahun dari tarikh sabitan.

Prosiding pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan Negeri, Ahmad Sazali Omar manakala tertuduh diwakili peguam, Wan Nurul Nurain Wan M Razali.

Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin selain menetapkan 27 Januari depan tarikh sebutan semula kes.

Media sebelum ini melaporkan, polis sedang menunggu laporan ujian alkohol pemandu yang dipercayai merempuh kereta dinaiki empat beranak sehingga menyebabkan kematian seorang lelaki di Jalan Klebang, di sini.

Kemalangan itu menyebabkan kematian Abdul Rahim Mohamad, 53, manakala tiga lagi anaknya berusia 11, 13 dan 20 tahun parah termasuk pendarahan di kepala.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Disember 2021 @ 12:42 PM