SEBAHAGIAN 20 PATI yang ditahan polis di jeti nelayan Sungai Nipah, Sungai Haji Dorani dekat sini, awal pagi semalam. FOTO ihsan POLIS
SEBAHAGIAN 20 PATI yang ditahan polis di jeti nelayan Sungai Nipah, Sungai Haji Dorani dekat sini, awal pagi semalam. FOTO ihsan POLIS
Amirul Aiman Hamsuddin


Sungai Besar: Senyuman terukir hanya seketika apabila sekumpulan 20 pendatang asing tanpa izin (Pati) Indonesia yang baru mendarat di Sungai Haji Dorani di sini, 'disambut' pihak berkuasa.

Dalam kejadian jam 3 pagi tadi, semua mereka cuba menyeludup masuk ke negara ini melalui jalan laut berhampiran jeti nelayan Sungai Nipah di sini.

Pegawai Pemerintah Batalion 4 Pasukan Gerakan Am (PGA) Semenyih Superintendan Rizal Mohamed berkata, pihaknya bagaimanapun berajaya mengesan dan menangkap 19 lelaki dan seorang wanita berusia 19 hingga 41 tahun.

Rizal berkata, tangkapan dibuat pihaknya ketika mereka sedang melakukan rondaan pemantauan.

"Hasil siasatan mendapati semua Pati terbabit gagal mengemukakan dokumen perjalanan yang sah memasuki negara ini.

"Mereka dipercayai masuk ke negara ini melalui laluan yang tidak diwartakan iaitu jalan laut dengan menggunakan bot," katanya.

Menurutnya, tangkapan dan rampasan dibawa ke Balai Polis Sungai Besar untuk tindakan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63. Suspek akan menjalani saringan Covid-19 bagi mencegah penularan virus itu di kalangan pesalah dan pihak polis," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Disember 2021 @ 5:13 PM