MUHAMAD Radzuan ketika sidang media bersama Chew di Pusat Khidmat DUN Lobak, hari ini. FOTO Hasbi
MUHAMAD Radzuan ketika sidang media bersama Chew di Pusat Khidmat DUN Lobak, hari ini. FOTO Hasbi
Ahmad Hasbi


Seremban: Tidak wujud isu 'cek tidak halal' seperti didakwa seorang pelanggan apabila cek yang cuba ditunaikannya dikembalikan pihak bank, kata Ketua Operasi Perbankan Bank Muamalat, Muhamad Radzuan Ab Rahman.

Beliau berkata, sebaliknya berlaku salah faham komunikasi antara kakitangan syarikat perbankan berkenaan dengan pelanggan.

Katanya, isu itu timbul selepas kakitangannya di Bank Muamalat di Seremban bertanyakan sumber dan tujuan cek berkenaan kepada pelanggan.

"Tidak pernah wujud dalam polisi perbankan kami untuk membezakan cek halal atau tidak halal. Cek berkenaan tidak diterima kerana kesilapan teknikal dan salah faham antara kakitangan dan pelanggan.

"Cek berkenaan tidak diserahkan kepada kakitangan yang bertugas dan hanya diletakkan ke dalam kotak cek. Apabila dikumpulkan kami mendapati terdapat masalah pada nama pemberi cek.

"Pihak kami kemudiannya menghubungi pelanggan dan memintanya datang ke bank sebelum bertanyakan sumber dan tujuan cek berkenaan. Mungkin daripada situasi itu wujud dakwaan cek tidak halal seperti yang didakwa pelanggan," katanya ketika sidang media, hari ini.

Pada Jumaat lalu media melaporkan sebuah pertubuhan kebajikan yang menjaga tanah perkuburan kaum Cina terkejut apabila cek yang diberikan daripada sebuah gereja untuk tujuan pembaikan tanah perkuburan berkenaan dikatakan tidak halal ketika mahu ditunaikan di Bank Muamalat.

Wakil pertubuhan berkenaan kemudiannya membuat aduan kepada Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Lobak pada Jumaat lalu.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lobak, Chew Seh Yong berkata, isu berkenaan sudah selesai dan tidak perlu diperbesarkan lagi.

"Saya bersama wakil pertubuhan dan pihak bank sudah berbincang mengenai isu ini. Pihak bank sudah menjelaskan perkara sebenar yang terjadi dan hasil daripada perbincangan ini kami mendapati ia hanya kesilapan teknikal dan salah faham.

"Saya memuji tindakan pihak bank yang turun padang untuk menyelesaikan isu ini. Saya tidak mahu isu tidak halal ini diperbesarkan kerana ia sedikit sebanyak menyentuh sensitiviti agama," katanya.

Terdahulu, satu sidang media diadakan di pusat khidmat berkenaan yang dihadiri Chew, Muhamad Radzuan dan kakitangannya serta wakil pertubuhan terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Disember 2021 @ 11:57 AM