Dron yang dikendalikan oleh Pasukan Petugas Kecemasan Perkhidmatan Dron Khas (PTK2Dron) yang diselaraskan oleh Technology Park Malaysia (TPM) bagi menghantar bekalan kritikal seperti ubat-ubatan, makanan dan ‘powerbank’ di beberapa kawasan sekitar Selangor. FOTO IHSAN MOSTI
Dron yang dikendalikan oleh Pasukan Petugas Kecemasan Perkhidmatan Dron Khas (PTK2Dron) yang diselaraskan oleh Technology Park Malaysia (TPM) bagi menghantar bekalan kritikal seperti ubat-ubatan, makanan dan ‘powerbank’ di beberapa kawasan sekitar Selangor. FOTO IHSAN MOSTI
BERNAMA

Putrajaya: Lebih 20 unit dron diaktifkan hari ini bagi operasi bantuan pemulihan banjir di kawasan terjejas di Selangor termasuk bagi kerja pemantauan dan penghantaran bekalan kritikal seperti makanan, ubat-ubatan dan power bank (bank kuasa), kata Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti).

Mosti dalam kenyataan hari ini memaklumkan dron yang dikendalikan Pasukan Petugas Kecemasan Perkhidmatan Dron Khas (PTK2Dron) itu digerakkan ke kawasan seperti Taman Sri Muda, Kampung Lombong dan Lanchong, Kampung Lanchang Jaya, Taman Alam Indah, dan Kampung Jalan Kebun.

"Usaha pemantauan dan penghantaran bekalan kritikal ini dilaksanakan di Selangor buat masa ini tertakluk kepada keperluan dari semasa ke semasa," menurut kenyataan itu.

Mosti berkata, PTK2Dron yang diselaraskan oleh Technology Park Malaysia (TPM) juga bersedia untuk menghulurkan bantuan di negeri lain yang terjejas banjir mengikut kesesuaian, permintaan dan keperluan pihak berkuasa tempatan.

Katanya, pengendalian dron berkenaan sudah diuji di Perak pada Oktober lalu dan didapati efektif dari segi penjimatan masa serta kos sebagai alternatif kepada kaedah logistik seperti menggunakan bot.

"Dron itu juga sudah diuji untuk penghantaran ke lokasi yang mencabar dari segi geografi, termasuk ke ruang pendaratan yang sempit dan terhad," katanya.

Menurut Mosti, kesemua dron yang digerakkan untuk bencana banjir itu adalah tanggungjawab sosial (CSR) syarikat dron tempatan iaitu VStream Revolutions Sdn Bhd, Meraque Services Sdn Bhd, Alphaswift Industries Sdn Bhd, Aerodyne Group Sdn Bhd dan GeoPrecision Tech Sdn Bhd.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Disember 2021 @ 4:40 PM