ANGGOTA penguatkuasa KPDNHEP membuat pemeriksaan terhadap minyak wangi yang ditemui di sebuah premis di Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur pada 14 Disember lalu. FOTO Ihsan KPDNHEP
ANGGOTA penguatkuasa KPDNHEP membuat pemeriksaan terhadap minyak wangi yang ditemui di sebuah premis di Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur pada 14 Disember lalu. FOTO Ihsan KPDNHEP
Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) merampas 13,577 minyak wangi tiruan pelbagai jenama bernilai RM117,435 dalam serbuan di sebuah premis di Jalan Klang Lama, di sini.

Pengarah Penguat kuasa KPDNHEP Azman Adam berkata, serbuan itu dijalankan pada 1.45 tengah hari, 14 Disember lalu oleh sepasukan empat penguat kuasa diketuai Mohd Aizamie Namami.

Katanya, tindakan diambil susulan aduan daripada wakil cap dagangan Global Trade Shields (GTS) berhubung penjualan produk wangian pelbagai jenama terkenal.

"Ketika serbuan itu, seramai lapan pekerja sedang membungkus minyak wangi dipercayai tiruan untuk pasaran Semenanjung, dengan produk dijual secara dalam talian.

"Pemeriksaan lanjut mendapati terdapat sebuah stor di dalam premis itu yang menempatkan pelbagai jenis dan jenama produk wangian.

"Hasil pengecaman awal daripada wakil pihak pengadu mengesahkan bahawa semua produk itu tiruan berdasarkan ciri-ciri pada pembungkusan minyak wangi terbabit," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Azman berkata, semua 13,577 minyak wangi bernilai RM117,435 disita bersama beberapa dokumen perniagaan untuk siasatan lanjut.

"Lapan pekerja terbabit dan seorang pemilik perniagaan yang juga warga tempatan ditahan untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 102(1)(c) Akta Cap Dagangan 2019.

"KPDNHEP ingin memberikan amaran kepada semua peniaga supaya sentiasa mematuhi undang-undang termasuk tidak menjual barangan tiruan.

"Pengguna juga dinasihatkan supaya berhati-hati dan membuat pemeriksaan sebelum membeli secara dalam talian agar tidak terpedaya dengan taktik jualan barangan tiruan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Disember 2021 @ 11:55 AM