GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
BERNAMA

Kuala Lumpur: Petronas menyalurkan sumbangan sebanyak RM25 juta untuk memberi bantuan kepada mangsa bencana banjir yang melanda beberapa kawasan di negara ini.

Dana berkenaan diperuntukkan oleh unit dan anak syarikat Kumpulan Petronas termasuk Yayasan Petronas yang akan meningkatkan jumlah sumbangan bersama syarikat berkaitan kerajaan (GLC) lain sebagai sebahagian daripada Rangkaian Tindak Balas Bencana GLC (GDRN).

Dalam pada itu, Kelab Sukan dan Rekreasi Petronas, Persatuan Isteri-Isteri dan Kakitangan Wanita Petronas dan Badan Kebajikan Islam Petronas juga sudah memulakan kutipan sumbangan untuk disalurkan kepada mangsa melalui Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSM), kata Petronas dalam satu kenyataan hari ini.

Seperti tahun sebelumnya, Petronas Dagangan Bhd (PDB) akan menyediakan perkhidmatan trak mengisi minyak bergerak, ROVR bagi membantu mangsa banjir, memberi perkhidmatan kepada pelanggan atau kepada operasi menyelamat kerana stesen minyak ditutup atau tidak boleh diakses.

Petronas turut menghulurkan bantuan kepada kakitangannya yang terjejas, termasuklah menyediakan tempat tinggal sementara, elaun makanan, cuti khas, bantuan kewangan dan makanan serta barang keperluan yang lain.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Disember 2021 @ 2:48 PM