TAKIYUDDIN di Dewan Rakyat.
TAKIYUDDIN di Dewan Rakyat.
BERNAMA

RANG Undang-undang Langkah-langkah Sementara Bagi Mengurangkan Kesan Penyakit Koronavirus 2019 (Covid-19) 2020, dibentang untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat, hari ini.

Rang undang-undang itu dibentangkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Takiyuddin Hassan termasuk mengubah suai 16 perundangan iaitu Akta Had Masa 1953; Ordinan Had Masa Sabah dan Ordinan Had Masa Sarawak.

Akta lain ialah Akta Perlindungan Pihak Berkuasa Awam 1948; Akta Insolvensi 1967; Akta Sewa Beli 1967; Akta Perlindungan Pengguna 1999; Akta Distres 1951; Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 1966; Akta Perhubungan Perusahaan 1967; Akta Agensi Pekerjaan Swasta 1981; Akta Pengangkutan Awam Darat 2010; Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan 1987; Akta Mahkamah Kehakiman 1964; Akta Mahkamah Rendah 1948 dan Akta Kaedah-Kaedah Mahkamah Rendah 1955.

Rang undang-undang itu juga bertujuan untuk menyokong Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat, Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin PKS dan Pelan Pemulihan Ekonomi Jangka Masa Pendek yang diumumkan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin masing-masing pada 27 Mac, 6 April dan 5 Jun lepas serta mengurangkan kesan kewangan dan sosial disebabkan oleh pandemik itu.

Bacaan kali kedua dan ketiga rang undang-undang itu akan dibentang pada persidangan kali ini.

Sementara itu, Takiyuddin turut membentangkan Rang Undang-undang Insolvensi (Pindaan) 2020 untuk bacaan kali pertama hari ini yang bertujuan meminda Akta Insolvensi 1967.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Ogos 2020 @ 2:43 PM