Oleh Zaid Salim


Kuala Terengganu: Fenomena ombak besar dijangka berlarutan sehingga Khamis ini yang boleh mengakibatkan berlaku limpahan air di kawasan rendah berdekatan pantai.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Terengganu, Leftenan Kolonel (PA) Mohd Rosman Abdullah berkata, merujuk kepada ramalan semasa dan keadaan angin kencang yang sedang berlaku, sesetengah kawasan di negeri ini berdepan dengan risiko limpahan air laut dan hujan lebat.

Katanya, sistem cuaca tekanan rendah yang terbentuk di perairan barat Sarawak dijangka bergerak ke arah barat menghampiri kawasan perairan pantai timur iaitu Kelantan, Terengganu dan Pahang bermula esok.

"Seterusnya, sistem ini dijangka merentasi kawasan utara Semenanjung menuju ke Laut Andaman pada 17 Disember 2021.

"Keadaan ini berpotensi menghasilkan hujan lebat berterusan di kebanyakan kawasan yang boleh mengakibatkan kejadian banjir," katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Justeru, penduduk di kawasan rendah dan mudah dinaiki air dinasihat sentiasa berada dalam keadaan waspada dan berjaga-jaga dan segera berpindah ke tempat selamat sekiranya perlu.

Sebelum ini, ramalan Meteorologi (Met) Malaysia Terengganu, bermula Disember keseluruhan negeri ini akan menerima taburan hujan melebihi purata.

Berdasarkan ramalan, sebanyak empat hingga enam episod luruan monsun yang membawa kepada hujan lebat berterusan dijangka berlaku.

"Kedudukan aras air laut tertinggi bagi Stesen Cerapan Kemaman hari ini hingga Khamis ini adalah dari 2.0 meter hingga mencecah 3.0 meter.

"Manakala, bagi Stesen Cerapan Kuala Terengganu pula kedudukan aras air laut tertinggi adalah 2.1 meter hingga 2.3 meter," katanya.

Seorang lelaki kelihatan berjalan melintasi ombak besar ketika tinjauan di  di benteng Pelabuhan Perikanan Chendering hari ini. FOTO GHAZALI KORI
Seorang lelaki kelihatan berjalan melintasi ombak besar ketika tinjauan di di benteng Pelabuhan Perikanan Chendering hari ini. FOTO GHAZALI KORI

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Disember 2021 @ 7:00 PM