Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: "Baru semalam saya dan suami berbincang untuk berpindah kedai dobi di Kepala Batas, Jitra kerana jarak dengan rumah kami di Hutan Kampung agak dekat.

"Kami nak cari kedai yang lebih selesa berbanding kedai dobi ini yang strukturnya kayu dan batu tetapi tak sangka pula hari ni kedai dobi kami hangus terbakar," kata Nurhaitulnisaq Abu Hassan, 26.

Dalam kejadian 8 pagi tadi, tiga deretan kedai iaitu kedai perabot, kedai jualan lampin pakai buang, kedai dobi, sebuah rumah dan garaj di Kampung Alor Gunung, Jalan Gunung Keriang, di sini musnah dalam kebakaran.

Kejadian itu turut menyebabkan penghuni rumah berkenaan, Ismail Ibrahim, 70, melecur di lengan kanan ketika hendak menyelamatkan diri keluar dari rumah berkenaan manakala isterinya, Rohani Dahalan, 67, selamat.

Menurut Nurhaitulnisaq, ketika kejadian, kedai dobinya belum mula beroperasi.

Katanya, semua baju pelanggan yang dihantar ke dobinya terbakar selain lima mesin basuh dan sebuah mesin pengering juga turut terbakar.

"Kami baru nak mula berniaga semula selepas perniagaan merosot akibat Covid-19 tapi apakan daya semua dah tertulis, kami redha walaupun kerugian dianggarkan mencecah RM80,000," katanya ketika ditemui di lokasi kebakaran, hari ini.

Nurhaitulnisaq berkata, dia dan suaminya, Mohd Basri Abdul Razak, 28, bercadang untuk berpindah tahun depan tetapi tidak menyangka kebakaran itu berlaku hari ini.

Sementara, itu, pemilik kedai lampin pakai buang, Ibrahim Ismail, 33, berkata, ketika kejadian berada di rumahnya berhampiran kawasan itu dan terkejut dimaklumkan jirannya yang kedai miliknya terbakar.

Katanya, sebaik sampai di lokasi, dia nampak api sudah marak dan kedainya sudah terbakar.

"Saya baru tambah bekalan lampin pakai buang di kedai dan semuanya habis terbakar," katanya yang menganggarkan kerugian mencecah lebih RM10,000.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Setar, Timbalan Penguasa Bomba Ahmad Naufal Abdullah berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kebakaran itu pada jam 8.22 pagi.

Beliau berkata, sepasukan anggota dari BBP Alor Setar dan dibantu pasukan dari BBP Jalan Raja tiba di lokasi jam 8.30 pagi dan berjaya mengawal api pada jam 8.43 pagi dari merebak ke beberapa kedai berhampiran.

"Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kebakaran ini hanya seorang penghuni rumah melecur di lengan kanan namun sudah diberi rawatan oleh anggota dari Unit EMRS.

"Lima deretan rumah kedai kelas B iaitu separa kayu dan batu setingkat dilaporkan terbakar dalam kejadian ini.

"Rumah terbabit dianggarkan musnah 50 peratus, sebuah garaj 10 peratus manakala kedai dobi, kedai perabot dan kedai lampin pakai buang masing-masing musnah 80 peratus," katanya di lokasi kejadian.

Ahmad Naufal berkata, setakat ini kerja-kerja overhaul sedang dilakukan dan punca serta kerugian masih dalam siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Disember 2021 @ 12:39 PM
ANGGOTA bomba memadam kebakaran di Kampung Alor Gunung. FOTO Zuliaty Zulkiffli
ANGGOTA bomba memadam kebakaran di Kampung Alor Gunung. FOTO Zuliaty Zulkiffli