Hamzah Zainudin
Hamzah Zainudin
Nurul Amanina Suhaini


Iskandar Puteri: Jabatan Kerja Raya (JKR) diminta melantik syarikat kontraktor yang mampu melaksanakan projek sehingga siap, bukan hanya dengan melobi.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, tindakan melobi bukan hanya menyebabkan projek pembangunan tergendala, malah ada yang terpaksa melantik syarikat kontraktor baharu bagi menyiapkannya.

"Pelantikan kontraktor itu sendiri menyebabkan projek tergendala. Nak tamatkan (kontrak) susah, tidak tamatkan (kontrak) pun susah.

"Selaku Menteri, saya mohon kepada JKR, kalau ada projek yang nak kita bangunkan bersama selepas ini, cari kontraktor yang benar-benar mampu. Kita tidak mahu masalah timbul di kemudian hari.

"Kami (kerajaan) bersedia sesiapa sahaja yang JKR lantik, kita terima. Tapi lakukanlah dengan prosedur sepatutnya dan tidak kerana melobi, akhirnya yang kuat melobi itu jadi penyebab masalah di kemudian hari," katanya ketika berucap di majlis penyerahan Projek Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri di sini, hari ini.

IPD Iskandar Puteri yang mula dibangunkan pada 2014 tertangguh tempoh siap, akibat masalah berkaitan kontraktor yang dilantik sebelum kerja menyiapkan baki pembinaan itu diserahkan kepada kontraktor lain.

Sementara itu, katanya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mempunyai enam projek yang diluluskan di bawah peruntukan pembangunan kerajaan.

Menurutnya, lima projek yang dalam proses pembinaan meliputi IPD Muallim, Perak dengan kos RM85 juta; IPD Jeli, Kelantan (RM130.3 juta); IPD Lawas, Sarawak (138.07 juta); IPD Hulu Terengganu, Terengganu (RM108.88 juta) dan IPD Klang Utara, Selangor (RM159.3 juta).

"IPD Belaga, Sarawak yang membabitkan kos RM90 juta kini sedang dalam proses dokumentasi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 November 2021 @ 6:03 PM