Ketua Pengarah Kerja Raya, Datuk Ir Mohamad Zulkefly Sulaiman (dua dari kiri) ketika meninjau projek Jalan Pesisir Pantai Labuan, di Labuan. FOTO Ihsan JKR Labuan
Ketua Pengarah Kerja Raya, Datuk Ir Mohamad Zulkefly Sulaiman (dua dari kiri) ketika meninjau projek Jalan Pesisir Pantai Labuan, di Labuan. FOTO Ihsan JKR Labuan
Izwan Abdullah

Labuan: Bayaran segera perlu dibuat kepada pemaju dan kontraktor sebaik projek pembinaan yang dilaksanakan siap.

Ketua Pengarah Kerja Raya Datuk Ir Mohamad Zulkefly Sulaiman berkata, langkah itu bagi membantu kontraktor dan pemaju yang terjejas akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menurutnya, langkah menyegerakan bayaran kepada pemaju dan kontraktor juga penting dalam usaha untuk merancakkan semula pertumbuhan ekonomi negara.

"Sebaik projek sudah diperakui siap, bayaran perlu dipercepatkan. Ini membantu kontraktor dan pemaju terus kekal dalam perniagaan dan juga menangani isu kelewatan projek.

"Dalam jangka panjang, ia akan membantu menjana semula pertumbuhan ekonomi kita," katanya ketika melawat projek pembinaan Jalan Pesisir Pantai Labuan di sini, semalam.

Hadir sama Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Wilayah Persekutuan Labuan, Ir Suhaizad Sulaiman.

Projek Jalan Pesisir Pantai Labuan bernilai RM132 juta membabitkan panjang 5.1 kilometer dari Membedai ke Tanjung Aru, di sini.

Projek yang kini mencapai 98.7 peratus siap membabitkan pembinaan jalan baharu satu lorong dua hala sepanjang empat kilometer dan 1.1 kilometer jalan sedia ada yang dinaik taraf.

Pembinaan projek itu yang bermula sejak Disember 2017 di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) akan menjadi laluan alternatif menghubungkan kawasan utara Pulau Labuan ke bandar Labuan.

Sekurang-kurangnya 35 peratus pengguna jalan raya khususnya pengguna dari Kampung Lubuk Temiang, Ganggarak, Tanjung Aru, Kerupang dan Nagalang menerima manfaat daripada pelaksanaan projek itu.

Mohamad Zulkefly dalam lawatan itu turut mengucapkan tahniah kepada pasukan yang terbabit dalam pembinaan projek berkenaan.

Katanya, usaha menyegerakan bayaran kepada pemaju dan kontraktor juga dapat mendorong syarikat lain mempercepatkan kerja pembinaan mengikut jadual ditetapkan supaya mendapat bayaran lebih awal.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Oktober 2021 @ 12:29 PM