Gimik penyerahan replika cek sumbangan akaun Simpan SSPN Prime oleh Tuan Ibrahim kepada Azhar Ahmad berjumlah RM100,000. FOTO IHSAN PTPTN
Gimik penyerahan replika cek sumbangan akaun Simpan SSPN Prime oleh Tuan Ibrahim kepada Azhar Ahmad berjumlah RM100,000. FOTO IHSAN PTPTN
Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Dua ribu pelajar di Kubang Kerian, Kelantan bakal menerima sumbangan akaun Simpan Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) Prime.

Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) pada kenyataan berkata, sumbangan keseluruhan RM100,000 itu diterima dari Pejabat Ahli Parlimen Kubang Kerian.

Katanya, sebagai agensi di bawah Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), PTPTN sentiasa komited dalam menjalinkan kerjasama dengan pelbagai pihak berkepentingan bagi memastikan setiap ibu bapa di negara ini menyediakan perancangan kewangan untuk pendidikan tinggi anak-anak melalui akaun Simpan SSPN daripada seawal usia.

"Sumbangan ini akan memberi manfaat kepada 2,000 pelajar dengan setiap pelajar menerima RM50. Ia dimasukkan terus ke akaun Simpan SSPN Prime.

"Sumbangan ini adalah sebagai pendorong kepada ibu bapa dan anak-anak supaya memulakan penabungan bagi tujuan pendidikan tinggi," katanya.

Majlis Penyampaian Sumbangan Akaun Simpan SSPN Prime itu berlangsung di Pejabat PTPTN Kelantan hari ini.

Gimik penyerahan replika cek disempurnakan Ahli Parlimen Kubang Kerian merangkap Menteri Alam Sekitar dan Air Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man kepada Ketua Pegawai Kewangan PTPTN Azhar Ahmad.

Menurut kenyataan, ia pejabat ahli Parlimen pertama di Kelantan yang memberikan sumbangan akaun Simpan SSPN Prime untuk kebajikan pelajar dalam kawasan parlimen berkenaan.

PTPTN juga mengucapkan penghargaan dan terima kasih atas sumbangan dalam bentuk akaun SSPN Prime ini.

"Pemberian sumbangan ini jelas menunjukkan keprihatinan dan sokongan padu pelbagai pihak, khususnya ahli Parlimen berkenaan dalam aspek pendidikan.

"Semoga usaha ini menjadi contoh dan ikutan kepada pejabat ahli Parlimen lain di seluruh Malaysia bagi memastikan anak-anak Malaysia mempunyai tabung simpanan terbaik untuk masa depan pendidikan mereka," katanya.

Simpan SSPN Prime adalah produk simpanan pendidikan di bawah PTPTN yang menyediakan pelbagai keistimewaan dan manfaat kepada masyarakat Malaysia.

Antara kelebihan produk ini ialah, kadar dividen yang kompetitif, pelepasan taksiran cukai pendapatan ke atas simpanan bersih hingga RM8,000 setahun, Geran Sepadan sehingga RM10,000 untuk satu keluarga yang layak, perlindungan takaful secara percuma, simpanan yang dijamin kerajaan dan patuh syariah.

Untuk maklumat lanjut dan untuk pembukaan akaun baharu Simpan SSPN Prime, layari www.lovesspn.com.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 November 2021 @ 5:39 PM