Nor Azizah Mokhtar


Kuala Lumpur: Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak membuat satu laporan polis terhadap beberapa pihak yang didakwa sengaja menyembunyikan bukti material transaksi wang berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan SRC International (SRC) semasa pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan (PH) hari ini.

Laporan polis dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di sini.

Najib mendakwa, beliau dan barisan peguamnya tidak mengetahui terdapat transaksi pemulangan dana RM65 juta dana berkaitan 1MDB yang diambil balik dari Singapura dan disimpan syarikat milik suami kepada bekas Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM).

Selain itu, beliau turut mendakwa, seorang lagi saksi utama pendakwaan dalam kes SRC juga menerima lebih RM85 juta dana yang dikaitkan secara langsung dengan 1MDB.

"Pendedahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bahawa sekurang-kurangnya RM65 juta dana berkaitan 1MDB yang diambil balik dari Singapura disimpan syarikat milik suami kepada bekas Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) adalah mengejutkan.

"Media turut melaporkan, RM700 juta dipindahkan ke akaun bank yang dikaitkan dengan bekas gabenor BNM itu sejak 2007 sehingga 2013," katanya kepada media.

NAJIB (tengah) hadir membuat laporan polis mengenai pemulangan dana 1MDB di IPD Dang Wangi. FOTO Aziah Azmee
NAJIB (tengah) hadir membuat laporan polis mengenai pemulangan dana 1MDB di IPD Dang Wangi. FOTO Aziah Azmee

Terdahulu, kenderaan yang membawa Najib tiba di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi jam 11.50 pagi dengan diiringi kenderaan polis pengiring.

Najib berkata, beliau turut kecewa dengan pendedahan bekas Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas dua hari lalu bahawa Tommy menyedari transaksi sedemikian semasa menjawat jawatan itu.

"Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Wan Junaidi Tuanku Jaafar pula pada jawapannya di Parlimen Isnin lalu berkata, polis dan pihak berkuasa hanya tahu dana berkaitan 1MDB yang diambil balik dari Singapura disimpan syarikat milik suami bekas Gabenor BNM, pada 2019...kini sudah hampir penghujung 2021.

"Maklumat sedemikian tidak pernah dimaklumkan kepada saya dan pasukan undang-undang saya untuk digunakan dalam pembelaan saya di mahkamah walaupun maklumat tersebut menjadi bahan kepada pembelaan saya dalam kedua-dua kes SRC dan 1MDB saya," katanya.

Susulan itu, beliau membuat laporan polis berhubung perkara itu bagi membolehkan polis menjalankan siasatan.

Minggu lalu, SPRM mendedahkan berjaya mendapatkan semula aset dan dana yang dikaitkan dengan 1MDB berjumlah RM20.5 bilion.

Ini termasuk pemulangan aset bernilai AS$15.4 juta (RM64.4 juta) membabitkan akaun Cutting Edge Industries LTD milik Tawfiq Ayman dan Samuel Goh.

Tawfiq adalah suami kepada bekas Gabenor Bank Negara Malaysia Zeti Akthar Aziz, yang juga saksi dalam perbicaraan kes 1MDB.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 November 2021 @ 3:40 PM