FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Oleh Amirul Aiman Hamsuddin


Sabak Bernam: Tindakan tegas akan diambil terhadap guru Kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA) di Selangor yang berdegil tidak mahu menerima suntikan vaksin Covid-19.

Pengarah Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, tindakan mengikut undang-undang itu termasuk diberhentikan kerja.

Beliau berkata, mengikut prosedur operasi standard (SOP), guru yang enggan mengambil vaksin tidak dibenarkan mengajar secara bersemuka.

"Untuk peringkat awal, kita akan berikan ingatan dan amaran hingga ke peringkat kemungkinan diberhentikan kerja.

"Kita tidak mahu menyusahkan mereka. Mengikut peraturan pekerjaan, guru ini boleh diambil tindakan jika ingkar arahan majikan," katanya kepada pemberita selepas Majlis Hari Kecemerlangan Pelatih dan Perasmian Dewan Baitul Ehsan di Pusat Perlindungan Baitul Ehsan di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Lembaga Pelawat Baitul Ehsan, Profesor Madya Dr Salasiah Hanin Hamjah.

Abdul Aziz berkata, beberapa peringatan dan nasihat termasuk surat dan notis akan diberikan kepada guru berkenaan untuk memaklumkan pengambilan vaksin di lokasi terdekat sebelum tindakan tegas diambil.

"Mereka tidak perlu datang sampai ke Shah Alam untuk suntikan vaksin kerana ia membabitkan kos sebaliknya boleh dibuat di mana-mana tempat.

"Selepas vaksinasi lengkap, mereka perlu melaporkan kepada ibu pejabat MAIS," katanya.

Katanya, ketika ini pihaknya tidak mempunyai data keseluruhan guru yang enggan divaksinasi tetapi ia membabitkan sebilangan kecil guru yang memberi alasan masalah kesihatan.

"Kempen pengambilan vaksin seperti penerangan juga telah dibuat. Jika masih berdegil, tindakan lanjut akan diambil," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 November 2021 @ 4:23 PM