Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Idris Ahmad memohon pasangan suami isteri yang menggunakan khidmat sindiket nikah tanpa tauliah yang dikenali sebagai Lebai Loh tampil ke Jabatan Agama Islam negeri masing-masing untuk mengesahkan status perkahwinan mereka.

Idris berkata, sama ada status pernikahan mereka sah atau tidak, hanya boleh diputuskan oleh Jabatan Agama Islam negeri masing-masing.

"Kebanyakan mereka yang berkahwin macam ini (sindiket), ada masalah nak kahwin secara rasmi.

"Mereka beranggapan orang berstatus ustaz dan dakwa ada kad autoriti (boleh menikahkan mereka), Alhamdulillah kita berjaya menumpaskan sindiket macam ini," katanya ketika Majlis Perasmian Perpustakaan Sheikh Mohammad Idris Al-Marbawi di Masjid Negara hari ini.

Idris (dua dari kiri) menyampaikan cenderahati kepada Victor dalam forum Jenayah Dalam Talian di pusat beli belah Imago, Kota Kinabalu. FOTO Juwan Riduan
Idris (dua dari kiri) menyampaikan cenderahati kepada Victor dalam forum Jenayah Dalam Talian di pusat beli belah Imago, Kota Kinabalu. FOTO Juwan Riduan

Katanya, pihaknya berharap supaya pasangan berkenaan tampil kepada pihak berkuasa sebagai pengesahan rasmi status perkahwinan mereka.

Sebelum ini, Harian Metro melaporkan sindiket nikah tanpa tauliah yang dikenali sebagai Lebai Loh dikenal pasti sudah beroperasi lebih 20 tahun lalu.

Bekas imam berusia 71 tahun itu dikesan menjadikan kediamannya di Kampung Chuchoh Puteri dekat Kuala Krai, Kelantan sebagai lokasi akad nikah.

Bekas imam itu akan mengenakan bayaran antara RM2,000 hingga RM5,000 dengan menjanjikan proses akad nikah itu berjalan lancar.

Sementara itu, Idris berkata, masjid bukan sahaja berfungsi sebagai tempat untuk melaksanakan ibadah solat sahaja tetapi masjid memainkan peranan sebagai pusat ilmu dan khazanah Islam yang sentiasa anjal sifatnya merentasi peredaran zaman.

"Apabila disebut mengenai perpustakaan, sejarah menjelaskan kepada kita mengenai betapa Bait al-Hikmah memancarkan sinar kecemerlangan Islam pada zaman pemerintahan Khalifah Al-Makmun sekitar tahun 813 hingga 833 Masihi.

"Perpustakaan menjadi simbol kesarjanaan masyarakat pada ketika itu. Saya fikir usaha menggabungkan kedua-dua entiti iaitu masjid dan perpustakaan amat dekat sekali dengan pembudayaan ilmu dan amal dalam Islam," katanya.

Menurutnya, inisiatif yang baik itu perlu direncana dan disusun rapi daripada sebuah perpustakaan mini pada hari ini ke arah peluasan menjadi sebuah perpustakaan mega setaraf dengan perpustakaan-perpustakaan Islam terkemuka seluruh dunia.

"Sehingga Oktober lalu, Malaysia mempunyai 6,512 masjid berdasarkan Laporan Statistik Masjid Seluruh Negara yang dicapai melalui Portal Rasmi Masjid Malaysia kelolaan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

"Daripada jumlah ini, hanya sebilangan kecil sahaja masjid yang mempunyai perpustakaan dan saya mengharapkan pada masa akan datang, setiap masjid di seluruh Malaysia dapat membuat perancangan mewujudkan perpustakaan di premis masing-masing untuk memberi kemudahan kepada kepada jemaah atau orang awam untuk membaca dan membuat rujukan," katanya.

Perpustakaan Sheikh Mohammad Idris Al-Marbawi menempatkan koleksi terbesar kitab turath (kitab lama, kitab kuning, koleksi langka) melebihi 8,000 naskhah serta koleksi Nusantara karya penulisan ulama yang muktabar.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 November 2021 @ 3:06 PM