Oleh Nor Fazlina Abdul Rahim


Kota Bharu: Bekas imam dikenali sebagai Lebai Loh ditahan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan (JAHEAIK) sekali gus menumpaskan sindiket nikah tidak bertauliah di negeri ini.

Lelaki berusia 71 tahun berkenaan ditahan dalam serbuan di Kampung Chuchoh Puteri, Kuala Krai dekat sini pada 28 Oktober lalu.

Pengarahnya, Datuk Che Mohd Rahim Che Jusoh berkata, dalam serbuan itu pihaknya turut merampas beberapa dokumen berkaitan perkahwinan termasuk borang nikah dari Thailand.

"Kita mendapati, kegiatan nikah sindiket oleh Lebai Loh ini sudah bergiat sejak sekian lama dan tidak menolak kemungkinan sudah ramai pasangan yang mendapatkan perkhidmatan bekas imam itu.

"Selain penduduk Kelantan, ada juga penduduk di luar Kelantan yang mendapatkan khidmat jurunikah sindiket terbabit.

"Kebanyakan sindiket nikah ini mengenakan bayaran sekitar RM2,000 hingga RM3,000 berbanding kos sebenar mengikut undang-undang hanya RM125," katanya pada sidang media di pejabatnya di sini, hari ini.

Che Mohd Rahim berkata, kebanyakan sindiket terbabit mempunyai rangkaian dengan Thailand.

"Sebelum ini kita juga berjaya tumpaskan sindiket nikah dikenali 'Imam Wahab' di Rantau Panjang, 'Imam Che Mud' di Machang; 'bekas Imam Muda di Ketereh sebelum tangkapan terbaru membabitkan 'Lebai Loh'.

"Justeru, kita berharap penduduk di Kelantan atau luar Kelantan tidak menggunakan perkhidmatan sindiket nikah berkenaan kerana mereka tidak mempunyai kelayakan.

"Pada masa sama, pasangan yang menggunakan khidmat sindiket berkenaan juga diminta tampil di pejabat agama bagi membuat pengesahan perkahwinan," katanya.

Che Mohd Rahim (tengah) bersama pegawainya memeriksa dokumen sindike. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Che Mohd Rahim (tengah) bersama pegawainya memeriksa dokumen sindike. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 November 2021 @ 12:51 PM