FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Calon Ketua Menteri yang dipilih akan menjadi penentu kejayaan parti tertentu untuk membentuk kerajaan bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 20 November ini.

Penganalisis politik dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Madya Dr Azmi Hassan berkata, ini kerana tiada parti dilihat dominan dan semua parti memiliki peluang sama.

Menurutnya, pertembungan tiga penjuru antara Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH) jelas merugikan semua parti.

"Bukan saja BN dan PN yang rugi disebabkan pecahan undi daripada pengundi yang sebelum ini menyokong mereka, tapi juga PH kerana adanya Bersatu dalam PN sebagai bekas rakan mereka.

"Malah, Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu menyaksikan beberapa kawasan mendapat majoriti yang rendah.

"Jadi besar kemungkinan pecahan undi itu akan menyebabkan peratusan majoriti pada PRN akan datang menjadi lebih kecil," katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Justeru, beliau berkata, parti yang mengumumkan awal siapa calon Ketua Menteri berkemungkinan boleh mendapat kepercayaan rakyat keseluruhan.

Katanya, senario itu sama dengan PRU apabila rakyat ingin mengetahui siapa calon Perdana Menteri bagi menentukan parti mana mahu dipilih untuk membentuk kerajaan.

Ditanya mengenai tindakan BN meletakkan muka baharu sebagai calon bertanding pada PRN Melaka, Dr Azmi berkata, ia memberi persepsi baik bahawa parti itu berani berubah dan lebih mementingkan kehendak pengundi daripada kehendak ahli akar umbi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh mengundi bagi PRN Melaka pada 20 November ini manakala penamaan calon pada 8 November dan undi awal pada 16 November, ekoran pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 4 Oktober lalu susulan empat ADUN menarik sokongan terhadap kepimpinan ketua menteri.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 November 2021 @ 5:17 PM