Clare Rewcastle Brown
Clare Rewcastle Brown
Muhaamad Hafis Nawawi

Kuala Lumpur: Polis meminta orang ramai yang mengenali atau mempunyai maklumat mengenai editor Sarawak Report, Clare Rewcastle Brown boleh berhubung dengan pegawai penyiasat polis susulan waran tangkap dikeluarkan terhadap wanita itu pada 23 September lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Ketua Unit Siasatan Jenayah Terkelas Superintendan Junainah M Kasbollah di talian 019-7051222 atau pegawai penyiasat kes, Asisten Superintendan Mohd Khairul Ridzuan Khiruddin di talian 017-6404440.

Menurutnya, Clare dikehendaki bersabit waran tangkap yang dikeluarkan Mahkamah Majistret Terengganu pada 23 September lalu berikutan kegagalan untuk hadir pertuduhan kes fitnah terhadap Sultanah Terengganu Sultanah Nur Zahirah.

Clare berdepan pertuduhan mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah melalui buku The Sarawak Report-The Inside Story of the 1MDB Expose.

Sultanah Nur Zahirah memfailkan saman fitnah terhadap Clare berhubung fitnah dalam buku berkenaan dan menuntut ganti rugi am sebanyak RM100 juta.

Sultanah Nur Zahirah yang memfailkan saman pada 21 November 2018 mendakwa kenyataan berbaur fitnah itu antara lain bermaksud baginda terbabit dalam amalan rasuah serta mencampuri urusan pentadbiran kerajaan negeri selain menggunakan status baginda untuk mempengaruhi penubuhan Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA) yang kemudiannya dikenali sebagai 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Sultanah Nur Zahirah turut mendakwa kenyataan itu membawa maksud baginda membantu ahli perniagaan dalam buruan Jho Low atau Low Taek Jho menjadi Penasihat TIA.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 November 2021 @ 8:18 PM