FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Hidayatidayu Razali


Kota Bharu: Syarikat telekomunikasi di negara ini boleh didenda sekiranya gagal menyediakan perkhidmatan internet seperti yang ditawarkan kepada pengguna.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa berkata, ini kerana perkara itu terdapat dalam peruntukan undang-undang Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM).

Katanya, setiap syarikat itu perlu memberi perkhidmatan mengikut standard minimum dan SKMM mempunyai kuasa termasuk denda jika mereka tidak melepasi standard berkenaan.

"Peruntukan undang-undang sudah ada, cuma tinggal penguatkuasaan sahaja. Jadi sekarang saya ingin melihat SKMM ini lebih proaktif dengan turun ke lapangan untuk selesaikan aduan yang diterima.

"Aduan (pengguna) ini datang daripada pelbagai bentuk, kadang-kadang tular di media sosial dan perlu selesai dengan segera. Buat masa ini, SKMM sering turun padang dan kini juga sudah ada di setiap negeri untuk memudahkan semua aduan diselesaikan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis pelancaran Program Belajar Dari Rumah Untuk Institusi Pengajian Tinggi di Politeknik Kota Bharu (PKB), Kok Lanas, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif YTL Communications, Wing K Lee dan Pengarah PKB Rosli Idris.

Annuar berkata, pihaknya juga membekalkan kelengkapan kepada SKMM negeri untuk membuat semakan dan menyukat secara rawak kelajuan jalur lebar syarikat telekomunikasi seperti yang dijanjikan.

"Perkara ini membuatkan mereka (syarikat telekomunikasi) sentiasa bersedia untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan masing-masing.

"Kita memandang serius mengenai perkara ini kerana liputan telekomunikasi termasuk jalur lebar menjadi keperluan semua golongan masyarakat termasuk pelajar, peniaga dan sebagainya.

"Kita tidak mahu perkara ini terlepas pandang dan setakat ini sudah ada syarikat telekomunikasi yang dikenakan denda," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Oktober 2021 @ 5:03 PM