PEMBANGUNAN pelan Jendela akan memperkemaskan ketersediaan jaringan internet di seluruh negara.
PEMBANGUNAN pelan Jendela akan memperkemaskan ketersediaan jaringan internet di seluruh negara.
Oleh Mohd Zaky Zainuddin
zaky@bh.com.my


Kuala Lumpur: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) dan penyedia perkhidmatan menyasarkan untuk melengkapkan pembangunan jaringan jalur lebar baharu di 1.25 juta premis di seluruh negara tahun depan.

Pengerusi SKMM, Dr Fadhlullah Suhaimi Abdul Malek berkata, sasaran itu akan terus merancakkan pembangunan Pelan Jalinan Digital Negara (Jendela) bagi memperkemaskan ketersediaan jaringan internet di seluruh negara.

Katanya, langkah itu dilihat selaras dengan pengumuman tender fasa pertama membabitkan pembinaan 1,661 lokasi menara telekomunikasi di Malaysia yang diumumkan bulan lalu.

"Menerusi pelan tindakan Jendela, sejumlah 4,589 stesen asas 2G/3G akan dipertingkatkan kepada 4G bagi meningkatkan liputan dan kelajuan internet.

"Kami juga merancang untuk menukar rangkaian 3G dan beralih kepada teknologi spektrum 4G.

"Untuk tempoh tiga bulan pertama tahun depan tiada sebarang tender dianugerahkan kepada kontraktor untuk Jendela," katanya pada taklimat media Laporan Suku Pertama Jendela secara maya, semalam.

Setakat 16 Disember lalu, Jendela sudah melengkapkan 433,477 premis dengan jaringan jalur lebar daripada jangkaan 435,947 premis keseluruhan tahun ini berbanding sasaran awal 352,101 premis.

Jendela juga sudah melengkapkan 746 menara jalur lebar mudah alih di seluruh negara setakat 16 Disember daripada keseluruhan 875 menara tahun ini selain sudah menaik taraf 16,029 menara menghampiri sasaran setahun penuh iaitu 16,366 menara.

Di bawah fasa pertama pelaksanaan Jendela sehingga 2022, kerajaan menyasarkan untuk meningkatkan liputan 4G kepada 96.9 peratus kawasan berpenduduk daripada 91.8 peratus ketika ini.

Kerajaan juga bercadang untuk meningkatkan kelajuan jalur lebar mudah alih kepada 35Mbps, selain 7.5 juta premis memiliki jaringan jalur lebar.

Fasa pertama juga, rangkaian 3G akan ditamatkan secara berperingkat menjelang akhir 2021 untuk digantikan dengan teknologi 4G.

Bulan lalu, SKMM mempercepatkan pembukaan tender fasa pertama Jendela bernilai RM4.6 bilion yang boleh dibida sehingga 31 Mac depan.

Tender berkenaan membabitkan pembinaan 1,661 lokasi bagi menara telekomunikasi di seluruh negara, yang mana pembayarannya bergantung kepada tahap pelaksanaan.

Fadhlullah berkata, antara isu utama yang dihadapi penyedia perkhidmatan telekomunikasi adalah udang-undang dan peraturan berbeza di setiap kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT) yang mana telah menyebabkan pelaksanaan beberapa inisiatif Jendela sedikit terganggu.

"Kami telah melaksanakan pelbagai perkara. Kami juga telah mengadakan pertemuan dengan menteri besar dan ketua menteri di seluruh negara bagi memudahkan urusan pembangunan dan pelaksanaan Jendela.

"Kita cuba untuk meyakinkan negeri bahawa dengan telekomunikasi ia akan membawa masuk pelaburan ke negeri masing-masing.

"Isu besar yang dihadapi adalah membabitkan pelbagai perkara termasuk isu tanah kerana setiap PBT memiliki peraturan berbeza. Jika perkara ini dapat diatasi, inisiatif Jendela dapat dilaksanakan dengan pantas," katanya.

Mengulas mengenai peruntukan spektrum 5G, Fadhlullah berkata, perkara itu perlu diuruskan dengan betul dan ia tidak boleh diserahkan terlalu awal.

"Jika peruntukan spektrum diberikan terlalu awal, ia akan menyebabkan kehilangan fokus dalam pelaburan.

"Sekarang ini apa yang penting adalah pelaburan dalam jaringan rangkaian untuk membolehkan rakyat mendapat akses kepada internet yang boleh dipercayai dan lebih pantas," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Disember 2020 @ 9:14 AM