GAMBAR hiasan. Ruang udara di  Pasir Gudang pada Januari 2019. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. Ruang udara di Pasir Gudang pada Januari 2019. FOTO arkib NSTP
Mohamed Farid Noh


Pasir Gudang: Kerajaan Persekutuan dan kerajaan Johor perlu segera menyiasat dan mengambil tindakan terhadap kejadian pencerobohan ruang angkasa Malaysia oleh pesawat Singapura, yang semakin kerap kebelakangan ini.

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, beliau menerima banyak aduan daripada penduduk mengenai pesawat tentera udara Singapura yang terbang rendah di sekitar kawasan berkenaan yang bukan sahaja menimbulkan gangguan malah kebimbangan.

Katanya, kekerapan pesawat tentera republik itu menceroboh ruang udara negara ini juga menimbulkan persoalan kerana ia semakin meningkat sejak awla bulan ini.

"Selaku Ahli Parlimen Pasir Gudang saya mohon Kerajaan Pusat dan Kerajaan Johor, terutama Kementerian Luar Dan Kementerian Pertahankan menyiasat segera kejadian pencerobohan ruang angkasa Malaysia oleh pesawat negara asing ini.

"Tindakan sewajarnya perlu diambil oleh kerajaan.

"Kejadian pencerobohan ruang angkasa negara kita ini kelihatan kerap berlaku selepas Kerajaan Pusat membangkitkan isu untuk mengkaji semula kes Batu Puteh atau Pedra Blanca," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, Hassan berkata, beliau menerima banyak aduan dari orang ramai serta penduduk setempat di Pasir Gudang yang membabitkan Parlimen Tebrau dan Parlimen Pasir Gudang, mengenai isu berkenaan sejak awal Oktober lagi.

"Mereka mengadu kepada saya tentang kekerapan kelihatan pesawat-pesawat tentera republik Singapura terbang rendah di ruang angkasa Pasir Gudang yang berjiran dengan Singapura.

"Kawasan yang terbabit adalah seperti di Kampung Pasir Putih, Taman Scientex, Taman Air Biru dan Taman Cendana," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Oktober 2021 @ 11:18 AM