Zuliaty Zulkiffli

Alor Setar: Hasrat seorang lelaki untuk melamar teman wanitanya dalam sebuah bilik di pusat hiburan di Mergong, di sini, malam tadi, terbantut apabila premis itu diserbu polis.

Serbuan dilakukan jam 10 malam oleh sepasukan pegawai dan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, kerana premis itu melanggar prosedur operasi standard (SOP).

Ini berikutan pusat hiburan masih tidak dibenarkan beroperasi ketika Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa Dua.

Dalam serbuan itu, 21 individu yang terdiri dari pelanggan pusat hiburan itu masing-masing dikompaun RM2,000, manakala penganjur pula RM25,000 kerana melanggar SOP.

Serbuan mengejut itu turut disertai Ketua Polis Kedah, Datuk Kamarul Zaman Mamat serta Timbalannya, Datuk Mohd Roze Shaari serta ketua jabatan dari IPK Kedah.

ANTARA individu yang diperiksa dalam serbuan berkenaan. FOTO Zuliaty Zulkiffli
ANTARA individu yang diperiksa dalam serbuan berkenaan. FOTO Zuliaty Zulkiffli

Kamarul Zaman berkata, semua individu, termasuk seorang daripadanya pekerja warga Myanmar dan penganjur premis berkenaan, berusia antara 20-an hingga 40-an.

Beliau berkata, kebanyakan mereka melakukan kesalahan termasuklah tidak mendaftar My Sejahtera, berkumpul dan berhibur dalam bilik tanpa penjarakan fizikal serta ada yang masih belum divaksin.

"Pemeriksaan dilakukan dalam setiap bilik di pusat hiburan berkenaan dan mendapati mereka gagal mematuhi SOP yang ditetapkan.

"Kesemua mereka dibawa ke balai polis untuk menjalani ujian saringan air kencing," katanya pada sidang media sejurus serbuan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Oktober 2021 @ 8:08 AM