Siti Rohana Idris


Tumpat: Kepulangan dua anak bersama menantu serta enam cucu ke kampung halaman disambut meriah seorang warga emas di Kampung Ana, di sini, hari ini.

Fatimah Yusof, 74, gagal menahan sebak sebaik melihat dua rombongan ahli keluarganya itu tiba dari Kuantan, Pahang.

Fatimah berkata, sejak beberapa hari lalu dia sudah tidak lena tidur membayangkan rumah kampungnya itu bakal diserikan gelagat anak cucu dan menyenaraikan pelbagai menu untuk dihidangkan.

"Sebaik melihat anak, cucu dan menantu tiba, rasa sebak terus datang kerana sudah setahun tidak bersua muka dan kami bersalam serta berpelukan untuk meleraikan rasa rindu.

"Hari ini saya sediakan sup tulang untuk hidangan mereka dan sangat gembira melihat mereka makan bertambah," katanya ketika ditemui di rumahnya.

Ketika ditanya mengenai perasaannya kini, Fatimah yang tinggal bersama anak bongsunya, Zauyah Deraman, 36, yang berstatus orang kurang upaya (OKU) fizikal berkata, segala sakit pening dialami selama ini hilang sekelip mata dan mulai malam ini, tidurnya pasti lena.

Walaupun empat lagi anak menetap di luar Kelantan masih belum pulang menjenguknya, kehadiran tiga daripada tujuh cahaya mata sudah cukup menggembirakan.

"Tidur malam saya selepas ini sudah pasti lena dan dapat dengar riuh rendah suara anak cucu sudah cukup menghiburkan hati kerana selama setahun saya hanya memendam rindu dan hanya dapat berhubung menerusi panggilan video.

"Seakan mimpi apabila melihat anak berdiri di depan mata dan tidak sabar menunggu empat lagi yang menetap di Perak, Pahang dan Johor," katanya.

naknya yang menetap di Kuantan, Zanoma Deraman, 40, berkata sebelum kerajaan mengumumkan kebenaran rentas negeri baru-baru ini, sudah seminggu dia mengemas segala pakaiannya sekeluarga dan bersedia untuk pulang ke kampung halaman.

Ibu kepada empat cahaya mata itu berkata, sepanjang tempoh setahun tidak dapat pulang menjenguk ibu dan adik tersayang, bermacam kemungkinan timbul di fikirannya apabila mengenangkan ibu sudah uzur.

"Kerap saya terfikirkan adakah sempat berjumpa mek kerana mek sudah uzur dan tinggal bersama adik yang kurang upaya.

"Sebaik Perdana Menteri umumkan kebenaran rentas negeri, suami segera memohon cuti daripada majikannya dan berpakat bersama seorang lagi adik serta keluarganya, untuk pulang serentak hari ini," katanya.

FATIMAH (kiri) gembira melihat anaknya mengurut kakinya selepas kepulangan dua anak bersama menantu serta enam cucu ke kampung halaman. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
FATIMAH (kiri) gembira melihat anaknya mengurut kakinya selepas kepulangan dua anak bersama menantu serta enam cucu ke kampung halaman. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Oktober 2021 @ 6:24 PM