FATIMAH mampu menuang air walaupun dengan keadaan kedua-dua tangan yang kudung.
FATIMAH mampu menuang air walaupun dengan keadaan kedua-dua tangan yang kudung.
FATIMAH membetulkan benang jahitan sebelum menjahit di rumahnya di Kampung Sungai Pinang.
FATIMAH membetulkan benang jahitan sebelum menjahit di rumahnya di Kampung Sungai Pinang.
myMetro

Tumpat: Meskipun bergelar orang kurang upaya (OKU) cacat kaki dan tangan, itu tidak menjadi halangan kepada seorang warga emas untuk menjadi tukang jahit.

Fatimah Daud, 66, berkata, dia mahu membuktikan dirinya boleh melakukan pekerjaan seperti orang normal sehingga mendorongnya belajar menjahit seawal usia 14 tahun.

Beliau yang berasal dari Kampung Pohon Celagi, Pasir Mas berkata, pada mulanya dia mengikuti kelas pengajian jahitan selama tiga bulan di sebuah kedai di daerah itu sebelum diambil bekerja di kedai itu.

“Pada mulanya, pemilik kedai itu tidak mahu mengajar saya kerana kecacatan fizikal, namun apabila melihat kesungguhan saya, dia berubah fikiran sebelum mengajar saya asas jahitan.

“Alhamdulillah, dalam masa tiga bulan saya sudah diambil bekerja di kedai itu dan mencari rezeki di kedai itu selama beberapa tahun sebelum seorang anak saudara saya memulakan perniagaan jahitannya sendiri,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Sungai Pinang di sini, semalam.

Beliau berkata, selepas berpindah di Kampung Sungai Pinang sejak 14 tahun lalu, dia mengambil keputusan membuka perniagaan menjahit pakaian sendiri di rumah sewanya, di sini.

“Ketika muda, saya mampu menyiapkan lima pasang baju kurung setiap hari terutama menjelang Aidilfitri dan Aidiladha. Namun, sekarang mata pun sudah rabun dan kadangkala terpaksa minta tolong anak saudara, Rozita Zakaria, 47, untuk masukkan benang ke lubang jarum.

“Walaupun begitu, ia tidak menghalang saya untuk terus melakukan pekerjaan itu kerana ia adalah sumber pendapatan utama keluarga dan dengan upah itulah, saya gunakan untuk perbelanjaan sekolah cucu saudara, Nurul Aini Sofia Anuar, 13, kerana ibunya tidak dapat melakukan pekerjaan akibat penyakit kencing manis, darah tinggi dan gout.

Fatimah berkata, walaupun cacat fizikal dan hanya mempunyai kaki kiri, pelanggan yang mendapatkan khidmatnya tidak pernah meragui kemampuannya menyediakan baju kurung berkualiti.

“Rata-rata pelanggan berpuas hati dengan hasil kerja saya dan mereka bukan saja penduduk di daerah ini, malah datang dari Kota Bharu, Pasir Mas dan beberapa daerah lagi.

“Harapan saya agar dapat terus berikan khidmat terbaik untuk pelanggan saya dan saya yakin mampu menjahit pakaian untuk tempoh beberapa tahun lagi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 November 2016 @ 8:42 AM