Oleh Ahmad Hasbi


Seremban: Bekas Timbalan Pengarah (Pengurusan) Jabatan Imigresen Negeri Sembilan dijatuhi hukuman denda RM5,000 di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan menggunakan dokumen palsu berkaitan nota penerimaan bekalan dan perkhidmatan bagi jabatan berkenaan, tiga tahun lalu.

Tertuduh, Nurshima Mislan, 45, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Madihah Harullah.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara lima bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

Tertuduh membayar denda itu.

Mengikut pertuduhan, Nurshima yang bertugas di jabatan itu sejak 2018 didakwa dengan curangnya menggunakan suatu dokumen sebagai tulen iaitu 'Nota Penerimaan Bekalan dan Perkhidmatan bernombor dokumen FN180000000790023' yang mana tertuduh mempunyai sebab untuk mempercayai bahawa dokumen berkenaan adalah palsu.

Kesalahan itu dilakukan di Pejabat Jabatan Imigresen Negeri Sembilan pada 2018.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 465 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Azriff Firdaus Mohamad Ali manakala tertuduh diwakili peguam, Muhammad Syafiq Stewart Abdullah dan Datuk Abu Bakar Isa Ramat.

Terdahulu, pada prosiding itu, Muhammad Syafiq Stewart memohon hukuman minimum dikenakan ke atas anak guamnya atas alasan kesalahan berkenaan adalah pertama kali dilakukan tertuduh.

"Tertuduh juga mempunyai empat anak yang masih belajar selain dia juga menghidap penyakit 'Supraventricular Tachycardia' (SVT) yang mana degupan jantung akan berhenti pada bila-bila masa sekiranya tidak mendapat rawatan segera.

"Tertuduh juga menghadapi pelbagai tekanan disebabkan kes ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Oktober 2021 @ 2:56 PM
Bekas Timbalan Pengarah (Pengurusan) Jabatan Imigresen Negeri Sembilan Nurulshima Mislan, 45, dijatuhi hukuman denda RM5,000 di Mahkamah Sesyen Seremban selepas mengaku bersalah atas pertuduhan menggunakan dokumen palsu berkaitan nota penerimaan dan bekalan bagi jabatan tersebut, empat tahun lalu. FOTO AZRUL EDHAM MOHD AMINUDDIN
Bekas Timbalan Pengarah (Pengurusan) Jabatan Imigresen Negeri Sembilan Nurulshima Mislan, 45, dijatuhi hukuman denda RM5,000 di Mahkamah Sesyen Seremban selepas mengaku bersalah atas pertuduhan menggunakan dokumen palsu berkaitan nota penerimaan dan bekalan bagi jabatan tersebut, empat tahun lalu. FOTO AZRUL EDHAM MOHD AMINUDDIN