Nancy Shukri
Nancy Shukri
Mohd Roji Kawi


Simunjan: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) menunggu Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk memutuskan tarikh bagi membuka sektor pelancongan antara negeri.

Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, beliau percaya keputusan itu akan akan dibuat dalam tempoh terdekat atau selewat-lewatnya hujung bulan ini.

Ini kerana katanya, beberapa negeri kini sudah memasuki Fasa 3 dan 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Selain itu katanya, sasaran untuk mencapai 90 peratus rakyat dewasa lengkap imunisasi yang menjadi antara syarat untuk membenarkan rentas negeri pula dijangka dicapai dalam tempoh terdekat.

"Sebab itu saya yakin pelancongan antara negeri akan dibuka dalam tempoh terdekat dan MKN akan memutuskan bila masa yang sesuai.

"Walaupun kita memang mahukan pelancongan antara negeri dibuka segera, saya tidak boleh menentukan bila, kerana ia adalah bidang kuasa MKN," katanya pada sidang media di Rumah Rehat Simunjan, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, sebelum ini gelembung pelancongan domestik sepatutnya dibuka di Melaka, Pulau Tioman dan Genting Highlands mulai semalam.

Bagaimanapun, ia terpaksa ditangguhkan ke satu tarikh lain selepas Exco Pelancongan dan Menteri Besar beberapa negeri lain turut meminta agar langkah sama turut dilaksanakan di negeri masing-masing, manakala Melaka pula belum bersedia untuk melaksanakannya.

"Keputusan Melaka untuk tidak melaksanakan gelembung pelancongan mulai 1 Oktober memang wajar ekoran mereka bimbangkan kesukaran untuk memastikan prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi kerana situasi di negeri itu dengan Langkawi agak berbeza," katanya.

Sementara itu, Nancy berkata, kementeriannya sudah menyediakan draf SOP untuk dikemukakan kepada MKN bagi membuka gelembung pelancongan kepada pelancong dari luar negara.

Menurutnya, beliau akan mengadakan perbincangan dengan rakan sejawat di beberapa negara ASEAN dan Timur Tengah mengenai keperluan untuk membuka pelancongan negara di peringkat antarabangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Oktober 2021 @ 5:43 PM