GAMBAR hiasan. FOTO MIKAIL ONG
GAMBAR hiasan. FOTO MIKAIL ONG
Baharom Bakar


Kuala Terengganu: Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) negeri mengesahkan sembilan anggotanya yang bertugas di pejabat daerah Kuala Terengganu positif Covid-19, manakala 31 lagi sedang dikuarantin.

Pengarah APM negeri, Leftenan Kolonel (PA) Mohd Rosman Abdullah berkata, tujuh anggotanya yang positif Covid-19 kini sedang dirawat di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) di Stadium Tertutup Gong Badak, Kuala Nerus manakala dua lagi kuarantin kendiri di rumah.

"Pegawai dan anggota lain yang menjadi kontak rapat kini sedang menjalani proses kuarantin di Institut Pendidikan Guru (IPG) Gong Badak.

"Keadaan sembilan anggotanya berkenaan dilaporkan stabil," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Rosman turut mengesahkan seorang pegawai yang bertugas di Ibu Pejabat APM negeri turut positif Covid-19.

Justeru itu, katanya, 15 pegawai dan anggota lain yang menjadi kontak rapat turut menjalani proses kuarantin.

"Setakat ini kita tidak mempunyai maklumat punca jangkitan ke atas pegawai dan anggota yang positif Covid-19.

"Walaupun pegawai dan anggota disahkan positif serta terpaksa menjalani proses kuarantin, aktiviti harian termasuk persiapan menghadapi bencana banjir tidak terjejas," katanya.

Difahamkan, pada awalnya tujuh anggota yang disahkan positif sebelum menjangkiti dua rakan lain, dan berkemungkinan anggota terbabit dijangkiti ketika ditugaskan mengambil katil di PKRC Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), pada 17 September lalu.

Pegawai dan anggota APM itu ditugaskan mengambil katil bersama kakitangan Pejabat Daerah Kuala Terengganu dan Kuala Nerus untuk ditempatkan di PKRC Stadium Tertutup Gong Badak yang mula beroperasi pada 26 September lalu.

Kesemua pegawai dan anggota yang dikuarantin akan dibenarkan bertugas semula bermula 9 Oktober ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Oktober 2021 @ 3:34 PM