GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Ahmad Hasbi


Seremban: Situasi terkini pandemik Covid-19 di Negeri Sembilan menunjukkan perkembangan yang semakin baik selepas penggunaan kebanyakan fasiliti kesihatan bagi rawatan wabak berkenaan mencatatkan kurang daripada 50 peratus.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, perkembangan positif itu adalah hasil pelbagai program dan kempen yang dijalankan kerajaan negeri dan agensi.

"Negeri Sembilan kini semakin pulih daripada pandemik Covid-19. Dapat dilihat pada statistik yang dikongsikan bahawa penggunaan alat bantuan pernafasan, unit rawatan rapi, katil hospital dan pusat kuarantin kurang daripada 50 peratus.

"Kadar penggunaan fasiliti kesihatan yang rendah ini adalah hasil daripada usaha kerajaan negeri dan pelbagai pihak dalam memastikan rakyat Negeri Sembilan menerima vaksin dengan kadar segera," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, antara langkah yang diambil adalah membuka pusat pemberian vaksin (PPV) pada Sabtu dan Ahad, program 'outreach' vaksinasi serta kempen berterusan kepada segenap lapisan masyarakat.

"Saya turut mengingatkan kepada semua supaya terus mematuhi prosedur standard operasi (SOP) agar kes Covid-19 terus menurun.

"InsyaAllah, kita boleh menang. Marilah kita sama-sama berusaha ke arah matlamat itu," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Kepenggunaan dan Alam Sekitar negeri, S Veerapan berkata, sehingga 12 tengah hari semalam, 165 kes baharu Covid-19 dilaporkan.

"Ia menjadikan jumlah keseluruhan kes Covid-19 sebanyak 96,744 kes dan jumlah keseluruhan kematian adalah 1,193 kes.

"Dukacita dimaklumkan, terdapat satu kes kematian berkaitan Covid-19 yang dilaporkan kepada Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) Jabatan Kesihatan Negeri, Negeri Sembilan semalam," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 September 2021 @ 10:30 AM