MOHD Syafiq Akmal (kiri) menunjukkan produk salai dihasilkannya di Bandar Springhill, Port Dickson. FOTO AZRUL EDHAM MOHD AMINUDDIN
MOHD Syafiq Akmal (kiri) menunjukkan produk salai dihasilkannya di Bandar Springhill, Port Dickson. FOTO AZRUL EDHAM MOHD AMINUDDIN
Mohd Khidir Zakaria


Port Dickson: Negeri Sembilan terkenal dengan makanan tradisinya, menu 'masak lemak cili api' yang pasti menjadi pilihan pengunjung luar ke negeri beradat ini.

Kebanyakan pengunjung akan bertanya lokasi mendapatkan makanan tradisi ini terutama untuk produk salai seperti ayam, itik, ikan keli, puyuh dan daging salai.

Menurut pengusaha produk salai, Mohd Syafiq Akmal Samsudin, 28, idea mengusahakan produk salai tercetus ketika tinggal bersama keluarga angkat di Seri Menanti, Kuala Pilah, tahun lalu.

"Ketika itu ada pelawat dari Kedah berminat dengan daging salai yang dijual di tepi jalan di Kuala Pilah dan mereka bertanya, adakah produk ini sempat dibawa balik ke negeri mereka kerana ia tidak dibungkus dengan plastik kedap udara (vacum bag).

"Dari situ timbul idea untuk mengusahakan produk berasaskan salai secara komersial dan tahan lama serta boleh dibawa balik untuk dirasai dari penggemar seluruh Malaysia, itu sudah memadai," kata bapa kepada seorang cahaya mata ini.

Menurutnya, dia bersama beberapa rakannya berkongsi modal mengusahakan produk berasaskan salai untuk pasaran di dalam negara.

Katanya, produk salai Alam Warisan kini dalam usaha mengukuhkan lagi jenama dan mempelbagaikan produk selepas menembusi pasaran beberapa negeri antaranya Melaka, Johor Baharu, Selangor, Kuala Lumpur dan Pahang.

"Buat masa ini terdapat empat produk salai dihasilkan iaitu daging salai, itik salai, ayam kampung salai dan daging salai serunding.

"Produk paling mendapat permintaan ialah daging salai apabila 4,000 bungkus terjual setiap bulan dan sentiasa meningkat setiap bulan.

"Kami dalam proses mengeluarkan produk baru iaitu ikan keli dan puyuh salai kerana ada permintaan daripada pelanggan, namun masih dalam peringkat percubaan," kata yang mengusahakannya di Bandar Springhill, di sini.

Menurutnya, semua produk keluarannya boleh didapati di stokis dan 40 ejen berdaftar yang terdapat di seluruh negara kecuali Sabah dan Sarawak.

Katanya, produk salai keluaran syarikatnya 100 peratus diusahakan Bumiputera dan dihasilkan dengan pembakaran asap 100 peratus menggunakan kayu pokok rambutan selama tujuh sehingga 10 jam.

"Walaupun kami menggunakan mesin 'smoker daddy's backyard', tapi ia masih tidak lari daripada konsep tradisi dan penggunaan kayu api sangat diberi perhatian bagi mendapatkan aroma yang wangi serta bau asap tidak terlalu kuat.

"Produk salai kami tidak mengandungi perisa atau pewarna tambahan melainkan hanya diletakkan garam dan kunyit iaitu antara kaedah perapan untuk membuatkan produk lebih tahan lama dan wangi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 September 2021 @ 3:06 PM