DATUK Ab Basir Mohamad (kiri) bersama Datuk Abu Hasan Hussian (kanan) memantau program pemberian vaksin di Penjara Bentong di Bentong. FOTO Mohd Rafi Mamat
DATUK Ab Basir Mohamad (kiri) bersama Datuk Abu Hasan Hussian (kanan) memantau program pemberian vaksin di Penjara Bentong di Bentong. FOTO Mohd Rafi Mamat
Mohd Rafi Mamat


Bentong: Penjara Bentong menjadi antara penjara terawal di negara ini berjaya melengkapkan suntikan vaksin Covid-19 kepada banduan yang menjalani hukuman di penjara berkenaan.

Pengarah Penjara Pahang, Datuk Ab Basir Mohamad berkata, seramai 1,200 penghuni penjara berkenaan yang belum divaksin menerima suntikan masing-masing, hari ini.

Katanya, program vaksinasi bermula 1 September lalu membabitkan seramai 1,509 banduan sebagai sebahagian usaha mencegah berlaku penularan wabak Covid-19.

"Saya ingin memaklumkan kepada keluarga penghuni Penjara Bentong dan Penjara Penor supaya tidak perlu bimbang kerana kita melaksanakan program vaksinasi kepada semua banduan.

"Sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0, semua banduan tidak melakukan aktiviti di luar bilik tahanan, latihan kemahiran dan kelas agama juga tidak diadakan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas meninjau program suntikan vaksin di Penjara Bentong, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengarah Penjara Bentong, Datuk Abu Hasan Hussain dan Pegawai Kesihatan Program Vaksinasi Penjara Bentong, Dr Aishah Jamilah Mohd Salleh.

Ab Basir berkata, Penjara Penor yang sedang dikuat kuasa Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) kini mencapai kadar vaksin 50 peratus dan dijangka mampu dilengkapkan menjelang hujung tahun ini.

Menurutnya, sejak Disember lalu, seramai 1,130 banduan di Penjara Bentong direkodkan positif Covid-19 manakala seramai 268 banduan di Penjara Penor di Kuantan dijangkiti wabak itu sejak 1 Ogos lalu.

"Setakat ini tiada lagi kes positif di Penjara Bentong, manakala 26 banduan yang positif dari Penjara Penor dihantar ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Penjara Bentong.

"Kita menyasarkan menjelang hujung tahun ini, penghuni Penjara Penor dan Penjara Bentong akan lengkap menerima suntikan Covid-19.

"Bagi mengelakkan penularan Covid-19 di dalam penjara, setiap banduan baharu dikenakan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat termasuk menjalani ujian calitan dan juga kuarantin selama 28 hari.

"Mana-mana banduan baharu yang dimasukkan ke dalam penjara juga akan diberikan suntikan vaksin Covid-19 secara berperingkat bagi mengekang penularan wabak berkenaan di penjara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 September 2021 @ 4:48 PM