Nazri Abu Bakar


Melaka: Sebanyak 541 kotak makanan disumbangkan kepada nelayan kawasan Melaka Tengah di Pengkalan Kampung Hailam, Lereh, Alai dan Sungai Duyong, hari ini.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan 1, Datuk Seri Ahmad Hamzah berkata, lebih RM27,000 diperuntukkan menerusi program 'MAFI Prihatin' itu membabitkan nelayan berdaftar dan menjadi ahli Persatuan Nelayan Kawasan Melaka Selatan.

Beliau berkata, secara simbolik sumbangan disampaikan kepada 100 penerima dari empat pengkalan terbabit manakala selebihnya diagihkan persatuan berkenaan.

Katanya, program menerusi sumbangan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) itu sebagai tanda keprihatinan dan tanggungjawab sosial korporat bersama persatuan bagi meringankan bebanan nelayan terjejas akibat Covid-19.

AHMAD (berdiri tiga dari kanan) bersama penerima kotak makanan, hari ini. FOTO SYAFEEQ AHMAD
AHMAD (berdiri tiga dari kanan) bersama penerima kotak makanan, hari ini. FOTO SYAFEEQ AHMAD

"LKIM Melaka turut merencana beberapa program seperti itu bagi memastikan nelayan mendapat perhatian sewajarnya dan tidak keciciran selaras aspirasi Keluarga Malaysia diilhamkan Perdana Menteri.

"Malah LKIM terus berusaha memperbaiki sosio-ekonomi nelayan menerusi fokus peningkatan pendapatan dan memajukan perusahaan perikanan negara selain memastikan bekalan ikan mencukupi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 September 2021 @ 7:02 PM