Pokok durian berusia kira-kira 50 tahun yang sudah mereput.  Lee Choon Ket hulur sumbangan untuk tebang dua batang pokok. FOTO IHSAN PEMBACA
Pokok durian berusia kira-kira 50 tahun yang sudah mereput. Lee Choon Ket hulur sumbangan untuk tebang dua batang pokok. FOTO IHSAN PEMBACA
Oleh Rosman Shamsudin


Tanjung Malim: Bimbang akan keselamatan orang ramai dan murid sekolah menyebabkan dua penduduk tampil menghulurkan bantuan kewangan bagi menebang dua batang pokok tua di tepi Jalan Ketoyong, berdepan Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjung Malim dekat sini.

Lee Choon Ket, 64, dan Chin Sai Yew, 40, membelanjakan RM4,000 bagi menebang sebatang pokok durian yang berusia kira-kira 50 tahun dan pokok hutan yang condong ke jalan berkenaan.

Choon Ket berkata, dua batang pokok terbabit memang sudah reput dan dahannya pula sering patah serta berterabur di atas jalan.

"Pokok yang reput itu boleh tumbang pada bila-bila masa dan ia membahayakan pengguna jalan.

"Lebih membahayakan, pokok durian terbabit terletak berhadapan dengan sekolah dan sudah tentu ia boleh mengancam keselamatan murid atau ibu bapa jika tumbang," katanya.

Kerja mencantas dahan dan menebang pokok dilakukan kontraktor yang berpengalaman dalam kerja pembalakan dengan bantuan jentera berat.

Choon Ket berkata, mereka melakukannya sebagai tanggungjawab sosial kepada (CSR) kepada masyarakat.

Sementara itu, Yang Di Pertua (YDP) Majlis Daerah Tanjung Malim (MDTM) Faizal Nizam Md Nor berkata, pihaknya berterima kasih kepada Choon Ket dan Sai Yew atas keprihatinan mereka.

"Keprihatinan mereka perlu dicontohi masyarakat. Kami berterima kasih atas sumbangan yang dihulurkan demi manfaat masyarakat itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 September 2021 @ 4:24 PM